DUNIA > BERITA

GUNUNG LEWOTOBI DI INDONESIA MELETUS, MUNTAHKAN ABU SETINGGI 8KM

15/10/2025 06:30 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 15 Okt (Bernama) -- Gunung Lewotobi Laki-laki yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus pada pagi Rabu, memuntahkan awan yang mengandungi abu setinggi lapan kilometer (km) ke udara, menurut pihak berkuasa.

Letusan yang bermula pada 9.21 pagi waktu tempatan itu disertai kepulan abu kelabu tebal yang bergerak ke arah utara dan barat laut, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG).

Dalam satu kenyataan, pusat itu menggesa penduduk dan pelancong supaya menjauhi kawasan berkenaan serta memberi amaran agar tidak melakukan sebarang aktiviti dalam lingkungan enam kilometer dari kawah dan sehingga tujuh kilometer di sektor barat daya, utara dan timur laut.

“Letusan itu disertai bunyi dentuman kuat yang kedengaran dari pos pemerhatian gunung berapi,” menurut PVMBG sambil menambah bahawa gunung berkenaan kekal pada Tahap Empat - status amaran tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat Indonesia.

Komuniti yang tinggal berhampiran gunung itu turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya aliran lumpur gunung berapi di sepanjang sungai yang mengalir dari lerengnya, terutamanya di kawasan Dulipali, Padang Pasir, Nobo, Nurabelen, Klatanlo, Hokeng Jaya, Boru dan Nawakote.

Mereka yang terjejas akibat hujan abu digesa memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada masalah pernafasan, tambah pusat itu.

Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban pada November tahun lalu apabila gunung itu meletus, memuntahkan lahar dan memaksa pemindahan penduduk dari beberapa kampung berhampiran.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan