DUNIA > BERITA

GEMPA BUMI BERMAGNITUD 6.6 GEGAR WILAYAH PAPUA INDONESIA, 50 RUMAH ROSAK

16/10/2025 08:17 PM

JAKARTA, 16 Okt (Bernama) -- Gempa bumi tektonik dengan magnitud 6.6 melanda Wilayah Papua di Indonesia pada Khamis, menyebabkan sekurang-kurangnya 50 buah rumah serta beberapa kemudahan awam rosak, menurut agensi bencana negara.

Agensi Pengurangan Bencana Negara (BNPB) berkata gempa itu mengakibatkan 20 rumah rosak teruk, manakala 30 lagi mengalami kerosakan kecil, selain menjejaskan tiga gereja, dua jambatan, dua pasar dan 13 bangunan awam lain.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun proses pengumpulan dan pengesahan data masih dijalankan di kawasan terjejas,” kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Agensi bencana tempatan di Keregenan Sarmi, dengan sokongan pihak tentera, polis dan sukarelawan, telah menubuhkan pos kecemasan 24 jam untuk membantu penduduk serta menilai keadaan infrastruktur, laluan pengangkutan dan rangkaian komunikasi selepas gempa bumi.

BNPB menggesa penduduk di dalam dan sekitar Sarmi supaya kekal tenang dan berwaspada, tidak menyebarkan maklumat palsu, serta menjauhi bangunan yang rosak atau kawasan berisiko tanah runtuh.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia berkata gempa bumi berlaku pada 12.48 tengah hari waktu tempatan dengan pusat gempa di daratan pada kedalaman 18 kilometer tanpa mencetuskan amaran tsunami.

Pusat gempa terletak kira-kira 32 kilometer ke tenggara Sarmi, 92 kilometer ke timur laut Mamberamo Tengah, 117 kilometer ke timur laut Kasonaweja dan 195 kilometer ke barat laut Jayapura.

Gegaran kuat dirasai selama kira-kira tiga saat di Sarmi dan kawasan sekitarnya, menyebabkan penduduk panik dan bergegas keluar dari rumah, tambah agensi itu lagi .

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan