DUNIA > BERITA

TENTERA LAUT MALAYSIA, SINGAPURA TAMATKAN LATIHAN BILATERAL MALAPURA KE-33

18/10/2025 08:17 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 17 Okt (Bernama) -- Tentera Laut Republik Singapura (RSN) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menamatkan Latihan Malapura edisi ke-33 pada Jumaat di Pangkalan Tentera Laut RSS Singapura - Changi.

Panglima Armada RSN Laksamana Muda Kwan Hon Chuong berkata Latihan Malapura kekal sebagai latihan utama antara kedua-dua negara, mencerminkan kepercayaan mendalam, rasa saling menghormati serta komitmen teguh yang memberi makna kepada hubungan erat kedua-dua angkatan laut.

“Ini menandakan kali ke-33 angkatan laut kita berganding bahu sejak 1984, satu bukti jelas sejauh mana kita telah maju sebagai rakan kerjasama,” katanya pada majlis penutup, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF).

MINDEF berkata semasa fasa darat yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Lumut, Malaysia, dari 7 hingga 10 Okt, anggota kedua-dua angkatan laut menjalankan pertukaran profesional, perancangan latihan serta aktiviti sukan.

Sementara itu, dalam fasa laut yang berlangsung di Selat Melaka dari 11 hingga 14 Okt, kedua-dua angkatan laut melaksanakan latihan pertahanan udara, tembakan artileri, pendaratan helikopter merentasi dek, latihan keselamatan maritim serta siri komunikasi dan pengemudian.

Menurut MINDEF, RSN dan TLDM menjalinkan interaksi secara berkala melalui pelbagai aktiviti termasuk pertukaran dua hala, kehadiran silang dalam kursus latihan serta penyertaan dalam pelbagai aktiviti pelbagai hala di bawah kerangka Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Campur.

Kedua-dua angkatan laut juga bekerjasama dalam memperkukuh keselamatan maritim melalui Rondaan Selat Melaka.

Baru-baru ini, RSN dan TLDM telah menandatangani Arrangement for Mutual Submarine Rescue Support and Cooperation yang menyediakan kerangka sokongan dan bantuan bersama sekiranya berlaku insiden kapal selam.

“Melalui pelbagai aktiviti ini, kerjasama praktikal dan hubungan profesional antara kedua-dua angkatan laut terus diperkukuh,” menurut MINDEF.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan