DUNIA > BERITA

MENTERI LUAR THAILAND, KEMBOJA ADAKAN PERBINCANGAN DI MALAYSIA BERHUBUNG KETEGANGAN SEMPADAN

18/10/2025 12:18 AM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 17 Okt (Bernama) -- Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow bertemu rakan sejawatnya dari Kemboja di Malaysia pada Jumaat (17 Okt) bagi membincangkan ketegangan berterusan di sempadan kedua-dua negara.

Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand (MFA) dalam satu kenyataan berkata Sihasak mengadakan lawatan kerja ke Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, atas jemputan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan .

“Sihasak menyertai rundingan empat pihak antara Malaysia, Amerika Syarikat, Thailand dan Kemboja, sebagai susulan kepada rundingan yang diadakan di New York pada 26 Sept 2025 dan di Malaysia pada 12 Okt 2025,” menurut kenyataan MFA di akaun rasmi X pada Jumaat.

Kementerian itu berkata Thailand menekankan kepentingan mencapai kemajuan yang nyata dalam isu seperti pengunduran senjata berat, usaha mengeluarkan periuk api, membanteras jenayah rentas sempadan, dan kerjasama dalam kawasan sempadan.

Mesyuarat itu dipengerusikan Mohamad dan dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Ini merupakan mesyuarat rundingan empat pihak kali kedua selepas yang pertama dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Ahad lepas (12 Okt).

Thailand dan Cambodia sedang berusaha ke arah mencapai keamanan berkekalan di sepanjang sempadan sejauh 817 kilometer yang sekian lama menjadi punca pertikaian.

Ketegangan memuncak kepada konfrontasi ketenteraan di kawasan sempadan Oddar Meanchey dan Preah Vihear pada 24 Julai.

Kedua-dua kerajaan kemudian bersetuju untuk meredakan keadaan yang kini dipantau rapi oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, serta Amerika Syarikat dan China.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan