DUNIA > BERITA

64 WARGA KOREA SELATAN DITAHAN DI KEMBOJA KERANA PENIPUAN DALAM TALIAN, PULANG KE TANAH AIR

18/10/2025 12:52 PM

YEONGJONGDO (Korea Selatan), 18 Okt (Bernama-Yonhap) -- Seramai 64 warga Korea Selatan yang ditahan di Kemboja berhubung dakwaan penipuan dalam talian tiba di tanah air awal Sabtu dengan penerbangan sewaan khas, dan kebanyakan mereka bakal berdepan siasatan sebagai suspek, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pegawai polis.

Penghantaran pulang itu dibuat susulan kes kematian seorang pelajar kolej Korea Selatan yang diseksa hingga mati selepas diperdaya sindiket jenayah di Kemboja, yang mencetuskan kemarahan orang ramai di Korea Selatan.

Pesawat Korean Air yang membawa mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 8.35 pagi, kira-kira lima jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Techo berhampiran Phnom Penh.

Ketibaan kumpulan itu berlaku beberapa hari selepas pasukan khas kerajaan Korea Selatan dihantar ke Kemboja bagi membantu rakyat negara itu yang terlibat dalam aktiviti penipuan yang dikendalikan oleh sindiket jenayah tempatan.

Difahamkan, warga Korea Selatan berkenaan ditahan sebaik menaiki pesawat dan dibawa ke balai polis di seluruh negara untuk disoal siasat.

“Tindakan ini mengesahkan kesediaan kerajaan Kemboja untuk bekerjasama, dan kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama dua hala dengan menubuhkan pasukan tindak balas bersama bagi menangani jenayah seumpama itu.

“Kerajaan akan mewujudkan sistem berkesan bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian di Kemboja yang menyasarkan rakyat Korea Selatan, serta memanfaatkan sepenuhnya sistem ini,” kata Timbalan Menteri Luar Kedua Kim Ji-na, yang mengetuai pasukan khas ke Kemboja.

Ketua Pejabat Penyiasatan Negara Park Sung-joo yang turut serta dalam pasukan itu, memberitahu media bahawa pihak berkuasa Kemboja bersetuju untuk memaklumkan dengan segera kepada Seoul sekiranya terdapat tangkapan baharu melibatkan rakyat Korea dalam operasi membanteras sindiket penipuan dalam talian.

Kedua-dua negara juga akan berkongsi bukti berkaitan kes penipuan, termasuk telefon bimbit, bagi membantu siasatan awal kes berkenaan.

Pada Ogos lalu, seorang pelajar universiti Korea Selatan ditemukan mati diseksa di Kemboja, sebulan selepas diperdaya dengan tawaran pekerjaan palsu.

Mereka yang pulang kali ini disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian di kompleks jenayah di Kemboja, dengan 59 daripadanya ditahan hasil operasi pihak berkuasa Kemboja, manakala selebihnya diselamatkan selepas melaporkan diri mereka dikurung.

Kebanyakan mereka berdepan pertuduhan jenayah di Korea Selatan, dengan sebahagian dikeluarkan notis merah Interpol.

Seramai 190 anggota polis turut menaiki pesawat berkenaan bagi mengiringi kumpulan itu, manakala 23 kenderaan disediakan untuk membawa mereka ke balai polis bagi siasatan lanjut.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan