KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama-Kyodo) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berlepas ke Jepun, destinasi kedua dalam lawatan tiga negaranya ke Asia, bertujuan menetapkan hala tuju baharu bagi hubungan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun yang baharu dilantik, Sanae Takaichi, lapor agensi berita Kyodo.
Ini merupakan lawatan pertama Trump ke Jepun sejak Jun 2019, dan fokus utama kali ini adalah membina asas hubungan dua hala dalam penggal keduanya sebagai presiden bersama Takaichi yang baru seminggu memegang jawatan.
Sebaik tiba di Tokyo di bawah kawalan keselamatan ketat, Trump dijadual menghadap Maharaja Naruhito sebelum mengadakan pertemuan rasmi dengan Takaichi pada keesokan harinya.
Takaichi, yang pulang ke Tokyo awal Isnin selepas menghadiri mesyuarat bersama pemimpin ASEAN di Malaysia, berkata beliau memberitahu Trump bahawa Jepun merupakan “rakan penting dan tidak dapat diganti bagi Amerika Syarikat, baik dalam strategi terhadap China mahupun dalam strategi Indo-Pasifik.”
Bagi menonjolkan kekuatan pakatan dua negara, Takaichi dijangka menemani Trump menaiki helikopter "Marine One" untuk lawatan ke pangkalan tentera laut AS di Yokosuka serta meninjau kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear "USS George Washington" , menurut sumber diplomatik.
Kemudian pada Selasa, Trump dijadual bertemu pemimpin perniagaan Jepun, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SoftBank Masayoshi Son dan Pengerusi Toyota Motor Corp Akio Toyoda.
Dalam pertemuan itu, Trump dijangka menggesa syarikat Jepun meningkatkan pelaburan dan pengeluaran di AS sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial