EKONOMI > BERITA

PERJANJIAN PERDAGANGAN TIMBAL BALAS MALAYSIA-AS PERKUKUH HUBUNGAN EKONOMI, PERTINGKAT AKSES PASARAN

27/10/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat mengesahkan semula hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara dan menekankan peranan Malaysia sebagai rakan kongsi utama Amerika Syarikat (AS) di Asia Tenggara serta membuka peluang baharu untuk kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan inovasi, kata Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM).

Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Datuk Siobhan Das berkata syarikat-syarikat dari AS berperanan penting dalam perjalanan pertumbuhan di Malaysia, melabur dalam sumber manusia, teknologi dan idea yang terus membentuk daya saing global negara.

“Perjanjian baharu ini diasaskan pada pendekatan perdagangan ditakrifkan semula, berpusat pada pembinaan rangka kerja perdagangan dipercayai dan selamat, mengutamakan peningkatan nilai, ketelusan dan integriti dalam keseluruhan rantaian bekalan dan nilai, termasuk memupuk pelaburan timbal balas.

“Ia mengukuhkan lagi komitmen syarikat multinasional AS dan membuka peluang baharu untuk kerjasama, perdagangan dan inovasi, pada masa sama meningkatkan daya tahan merentasi rantaian bekalan kritikal,” katanya.

Berasaskan kerjasama erat, pematuhan dan kepatuhan terhadap piawaian global selama beberapa dekad, Das berkata perjanjian itu menyediakan lebih banyak peluang untuk sesi libat urus lebih erat dengan perusahaan kecil dan sederhana tempatan dan menggalakkan perdagangan serta pelaburan dua hala.

Selain itu, ia juga boleh menawarkan perniagaan dengan tumpuan pasaran AS kepada pilihan alternatif untuk rantaian bekalan mereka.

“Menjadi salah satu negara pertama yang mencapai perjanjian yang boleh diambil tindakan mengukuhkan kedudukan strategik dan kepimpinan Malaysia dan menunjukkan bahawa terdapat laluan jelas ke depan untuk mengakses pasaran AS.

“Syarikat-syarikat akan mempunyai pemahaman lebih baik mengenai cara menggunakan rantaian bekalan mereka dan membuka nilai bagi mendapatkan kejelasan yang lebih besar, walaupun masih ada kerja-kerja yang perlu dilakukan ketika kita memperinci perjanjian ini,” katanya.

Sementara itu, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata perjanjian itu mencerminkan strategi rundingan Malaysia yang teliti untuk melindungi industri domestik dan meletakkannya untuk integrasi yang lebih mendalam ke dalam rantaian bekalan global.

Rangka kerja tersebut turut menyediakan kejelasan dan kestabilan untuk pelabur, menggalakkan kerjasama antara syarikat dari Malaysia dan AS dalam sektor pembuatan dan digital bernilai tinggi.

“Perjanjian itu memberi kelegaan kepada sektor pembuatan Malaysia, kesinambungan akses pasaran dan asas pelaburan yang lebih kukuh.

“Cabarannya sekarang adalah untuk menjadikan terma-terma ini sebagai hasil yang konkrit. Industri dan kerajaan mesti bekerjasama untuk mempercepatkan pembinaan kapasiti, meningkatkan rantaian nilai dan memanfaatkan sepenuhnya pakej pengecualian dan pelaksanaan untuk meningkatkan kedudukan daya saing Malaysia,” katanya.

FMM berkata langkah itu mencerminkan strategi AS lebih luas untuk memulihkan pengeluaran dan mengenakan kos lebih tinggi ke atas pengeluar yang beroperasi di luar negara.

Perjanjian berkenaan melindungi pengeksport Malaysia daripada terperangkap dalam tindakan menyeluruh ini, memastikan akses berterusan ke pasaran AS di bawah keadaan stabil dan boleh diramal, katanya.

Malaysia dan AS telah menandatangani ART, yang dirasmikan oleh Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Ahad lepas.

Terma utama perjanjian itu termasuk komitmen AS untuk mengekalkan kadar tarif 19 peratus ke atas barangan asal Malaysia dengan pengecualian penting diberikan kepada 1,711 produk eksport Malaysia ke AS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan