DUNIA > BERITA

CHINA SERU PERHEBAT KEMANDIRIAN SELATAN GLOBAL DALAM PEMBANGUNAN SEJAGAT

29/10/2025 04:51 PM

BEIJING, 29 Okt (Bernama-CMG) -- Kerjasama antara pelbagai negara Selatan Global telah membuka laluan baharu dan mendatangkan penggerak baharu kepada pertumbuhan ekonomi di sebalik situasi dunia yang penuh dengan cabaran serius, manakala kedamaian dan pembangunan tetap wujud sebagai arus perdana dalam perkembangan zaman.

Demikian dinyatakan Timbalan Pengarah Tetap Pusat Pengetahuan Pembangunan Antarabangsa China, Wang Jinzhao baru-baru ini.

Menurut  Laporan Pembangunan Global (GDR) 2025 yang bertema "Berganding Bahu Menyuntik Kestabilan dan Kepastian kepada Pembangunan Global" yang dikeluarkan China pada Selasa, negara-negara Selatan Global membawa pengaruh yang semakin besar di pentas dunia, disokong oleh peningkatan perekonomiannya di seluruh dunia yang melonjak daripada 25 peratus pada tahun 1980-an kepada lebih 40 peratus pada tahun lepas.

Sementara itu, nisbah perdagangan barangan Selatan Global dalam keseluruhan dunia  juga meningkat daripada 30 peratus pada tahun 2000 kepada 45 peratus buat masa sekarang.

Dalam konteks sedemikian,Selatan Global  hendaklah meningkatkan kerelevanan dan menambah suara kumpulan itu dalam hal ehwal antarabangsa, di samping memperkasa kemandirian blok itu melalui peningkatan pelaburan dalam industri pembuatan, rendah karbon dan infrastruktur digital.

Kumpulan pemikir China dalam rangka Inisiatif Pembangunan Global (GDI) telah mengeluarkan laporan seumpama itu untuk empat tahun berturut-turut.

Menurut laporan edisi keempat itu, dunia yang berada dalam pergolakan yang rumit dan drastik dewasa ini, terpaksa menghadapi semakin banyak unsur yang tidak menentu dan tidak stabil.

Terdapat lebih 1,200 halangan perdagangan diskriminatif yang dikesan wujud di seluruh dunia pada 2024, yang bertubi-tubi memberi impak  kepada pertumbuhan ekonomi dan tata tertib perdagangan global.

Selain itu, teknologi kecerdasan buatan (AI) yang muncul sebagai pemangkin pembangunan berkemungkinan juga membawa sejumlah risiko dalam bidang keselamatan dan permasalahan dalam bidang tadbir urus.

– BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan