DUNIA > BERITA

THAILAND PERKUKUH KESELAMATAN SEMPADAN SELEPAS BAJA DIGUNAKAN BUAT BOM

31/10/2025 03:14 PM

Daripada Muhammad Afiq Mohd Asri

YALA, 31 Okt (Bernama) -- Pasukan keselamatan Thailand memperketat kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand sebagai langkah berjaga-jaga ekoran penemuan baja urea yang digunakan kumpulan jenayah bagi menghasilkan bahan letupan buatan sendiri (IED) di wilayah selatan negara itu.

Panglima Tentera Wilayah Keempat, Leftenan Jeneral Naratip Poynok berkata, bahan letupan berkenaan dipercayai dihasilkan menggunakan baja urea yang dicampur dengan besi, paku, kaca dan batu bagi meningkatkan tahap kecederaan terhadap sasaran mereka, khususnya anggota keselamatan.

Beliau berkata, maklumat itu diperoleh hasil penahanan seorang suspek lelaki kira-kira dua bulan lalu.

“Suspek mengaku memperoleh baja itu sebelum menukarnya menjadi ‘urea nitrate’, komponen utama yang digunakan dalam pembuatan bom.

“Berdasarkan hasil siasatan, suspek mengaku mendapatkan bekalan baja urea untuk membuat bahan letupan buatan sendiri. 

"Kami percaya bahan itu digunakan dalam beberapa serangan yang dirancang,” katanya kepada media Malaysia melalui jurubahasa tempatan dalam satu sesi temu bual khas di Kem Sirindhorn baru-baru ini.

Naratip, yang juga Pengarah Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah Empat (Selatan), berkata suspek dipercayai menghasilkan bahan letupan itu di kawasan berbukit, luar bandar dan hutan sebelum memasangnya di pinggir bandar.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk analisis forensik terhadap bahan yang dirampas bagi mengesahkan komposisi serta sumber bekalannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan