DUNIA > BERITA

BMW DISAMAN DI BELANDA ATAS DAKWAAN PENIPUAN UJIAN PELEPASAN DIESEL

11/11/2025 05:18 PM

THE HAGUE, 11 Nov (Bernama-Xinhua) – Pengeluar kereta Jerman, BMW, telah disaman oleh Persatuan Pengguna Belanda (Consumentenbond) dan Yayasan Car Claim kerana didakwa menggunakan perisian bagi menampakkan kereta diesel keluarannya lebih mesra alam berbanding keadaan sebenar, lapor Xinhua pada Isnin, memetik jurucakap Consumentenbond, Joyce Donat.

Beberapa siasatan yang dijalankan oleh organisasi di Belanda serta di Jerman, Perancis dan Britain mendapati kenderaan diesel itu dilengkapi dengan peranti yang secara tiruan mengurangkan pelepasan nitrogen oksida semasa ujian kelulusan rasmi. Namun, dalam keadaan pemanduan sebenar, kenderaan itu mengeluarkan paras pencemaran yang jauh lebih tinggi.

Dianggarkan kira-kira 100,000 kereta diesel BMW yang dijual di Belanda antara 1 Jan 2009 dan 1 Sept 2019 terjejas oleh isu itu.

“Kami mahu BMW memberi pampasan kepada pengguna yang telah mereka perdayakan,” kata Pengarah Consumentenbond, Sandra Molenaar.

Yayasan Car Claim, sebuah organisasi bukan untung, turut menggesa BMW memanggil semula kenderaan terjejas dan memastikan ia mematuhi piawaian pelepasan dalam keadaan pemanduan sebenar.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan