SUKAN > BERITA

LIGA SUPER: YUSRI LUAH RASA SYUKUR IMIGRESEN FC CATAT KEMENANGAN PENTING

22/02/2026 12:05 PM

SEREMBAN, 22 Feb (Bernama) -- Pengendali Imigresen FC Yusri Che Lah meluahkan rasa syukur selepas pasukan itu mencatat kemenangan penting dalam saingan Liga Super malam tadi, sekali gus mengakhiri deretan keputusan kurang memberangsangkan sebelum ini.

Beliau berkata kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) sangat dinantikan selepas pasukan itu tersingkir daripada semua saingan piala musim ini termasuk Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

“Ini kemenangan yang kami inginkan dan amat bermakna selepas terkeluar daripada semua persaingan, kami tewas kepada NSFC di sini dan tersingkir daripada Piala Malaysia, dua minggu berikutnya kalah kepada Kelantan The Real Warriors untuk Piala Cabaran, sekarang hanya tinggal Liga Super.

“Dengan kemenangan malam ini, kami berkongsi 18 mata dengan Penang FC yang berada satu tangga di atas kami di kedudukan keenam liga. Tahniah kepada pemain kerana memberikan segala-galanya dan memahami keinginan pengurusan supaya kami berikan lebih baik untuk berada di pertengahan carta liga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan yang berkesudahan Imigresen FC menewaskan NSFC hasil dua jaringan pemain import Eduardo Jose Sosa Vegas pada minit ke-40 dan 84 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Imigresen FC kini berada di tangga ketujuh manakala NSFC di kedudukan kesembilan dengan 17 mata.

Yusri mengakui perlawanan itu tidaklah semudah yang diperkatakan walaupun Skuad Jang beraksi dengan kekurangan seorang pemain selepas Yuichi Hirano dilayangkan kad merah pada minit ke-22 kerana melakukan kekasaran.

Sementara itu, Ketua Jurulatih NSFC Mohd Nidzam Jamil berkata hilang konsenstrasi ketika perlawanan berbaki lima minit antara punca pasukan itu tewas biarpun berjaya mendahului pada minit kelapan.

“Pasukan kena fokus seratus peratus dalam 90 minit permainan, kami tidak boleh benarkan tekanan mengawal pasukan, paling penting ialah konsentrasi. Kami boleh lihat beberapa perlawanan sebelum ini pada minit ke-85 ke atas selalu ada pemisahan mata, saya tak puas hati dan ia perlu diperbaiki segera,” katanya.

Mohd Nidzam ketika mengulas prestasi pasukan yang dilihat sedikit merosot kebelakangan ini berkata pihak pengurusan sentiasa berhubung dengannya dan memahami keadaan pasukan.

“Tiada isu tentang ketidakpercayaan (terhadap kepimpinannya) tapi keputusan perlawanan tetap menjadi penentu utama dan keputusan itu boleh memberi kesan kepada banyak perkara… ia adalah normal dalam kerjaya jurulatih.

“Tanggungjawab saya memastikan pasukan bermain lebih baik berbanding musim sebelumnya. Jika prestasi tidak menepati sasaran, saya orang pertama yang bertanggungjawab tetapi dalam bola sepak ia bukan hanya soal ketua jurulatih, banyak benda kecil yang perlu diberi perhatian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan