Daripada Nor Fariza Mohd Razhi
BEIJING, 13 Nov (Bernama) -- China menggalakkan lebih ramai generasi muda ASEAN termasuk Malaysia melanjutkan pengajian tinggi di negara itu, kata Naib Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) Sun Haiyan.
Sun berkata usaha itu bertujuan membantu negara-negara rakan kongsi melahirkan lebih ramai bakat dengan keupayaan teknologi yang mantap, seterusnya memperkukuh pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara mereka.
“Bagi menyokong usaha ini, kami menawarkan lebih banyak biasiswa kepada golongan muda di rantau ASEAN untuk melanjutkan pengajian di China. Kami percaya bahawa teknologi dan inovasi merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa hadapan dan China mempunyai banyak universiti bertaraf dunia.
“Oleh itu, kita perlu mewujudkan lebih banyak peluang untuk golongan muda. Ini akan membantu negara anda melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknologi tinggi yang akan pulang ke tanah air untuk menyumbang kepada kemajuan industri dan ekonomi negara. Dengan penuh ikhlas, kami amat mengalu-alukan golongan muda ke universiti kami,” katanya.
Sun berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan 24 delegasi dari enam negara ASEAN, iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Myanmar, Indonesia dan Brunei yang kini sedang melawat China.
Lawatan sambil belajar yang diadakan dari 12 hingga 19 Nov itu menumpukan kepada tema Pembinaan Parti, Pembangunan Berkualiti Tinggi, Pembukaan Bertaraf Tinggi, Pemodenan China dan Pemerkasaan Luar Bandar.
Menurut data rasmi, jumlah pertukaran pelajar dua hala antara China dan ASEAN melebihi 175,000 orang pada 2023, sekali gus mencerminkan kerjasama pendidikan yang semakin kukuh antara kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial