DUNIA > BERITA

TIMBUNAN SISA SAMPAH DI GAZA ANCAM CETUSKAN WABAK PENYAKIT

15/11/2025 01:51 PM

BANDARAYA GAZA, 15 Nov (Bernama-Anadolu) -- Pengumpulan ribuan tan sisa sampah di seluruh Semenanjung Gaza menimbulkan risiko berlakunya wabak penyakit kulit, pernafasan dan usus, menurut amaran seorang pegawai kesihatan Palestin pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pihak berkuasa tempatan menganggarkan hampir 700,000 tan sisa sampah telah bertimbun di tapak pelupusan sementara di Gaza, ketika keadaan kemanusiaan yang teruk berikutan serangan Israel selama dua tahun ke atas wilayah terkepung itu.

Menggambarkan keadaan itu sebagai “bencana alam sekitar dan kesihatan awam”, Pengarah Hospital al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya, berkata kepada Anadolu bahawa timbunan sisa sampah berkenaan menarik nyamuk, tikus, lalat dan serangga lain yang menyumbang kepada penyebaran pelbagai penyakit dalam kalangan penduduk.

Beliau berkata gas yang dilepaskan daripada timbunan sampah, khususnya gas metana, memberi kesan secara langsung kepada pesakit di hospital.

Sisa sampah yang meresap ke dalam air bawah tanah turut mengancam kebanyakan telaga dengan pencemaran, yang boleh membawa kepada kes keracunan, manakala air minuman di banyak kawasan menjadi tidak selamat.

Abu Salmiya menambah bahawa peningkatan timbunan sampah itu mewujudkan “persekitaran psikologi dan kemanusiaan yang sangat berbahaya”, dengan penduduk terpaksa hidup di tengah-tengah longgokan sampah yang memenuhi jalan dan lorong, meningkatkan rasa tidak selamat.

Beliau menggesa organisasi antarabangsa agar “segera campur tangan bagi menangani sampah yang semakin bertimbun” di wilayah yang dikepung itu.

Timbunan sisa sampah itu tertumpu di utara dan selatan Gaza, ekoran Israel terus menghalang akses ke tapak pelupusan utama yang terletak di kawasan sempadan di bawah kawalannya dalam fasa pertama gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Okt.

Pada Selasa, Hamas menuduh Israel menyekat kemasukan bantuan dan bahan api ke Gaza, sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata.

Lebih 69,000 penduduk Palestin telah terbunuh dan lebih 170,700 lagi cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak Okt 2023.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan