Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 19 Nov (Bernama) -- Myanmar menghantar pulang lebih 68,000 warga asing dalam tempoh tiga tahun lalu dan merobohkan 150 bangunan yang beroperasi sebagai pusat penipuan dalam talian dalam sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ketika rantau ini memperhebat usaha mengekang jenayah rentas sempadan itu.
Negara Asia Tenggara itu menyertai negara-negara Lancang-Mekong lain, termasuk China, Laos, Vietnam, Kemboja dan Thailand, bagi membanteras penipuan dalam talian serta perjudian yang mengancam keselamatan serantau.
Akhbar rasmi The Global New Light of Myanmar melaporkan bahawa kerajaan Myanmar terlibat secara aktif dalam menghapuskan pusat penipuan dan perjudian yang memberi kesan buruk kepada masyarakat antarabangsa.
“Kami menjalankan operasi pentadbiran wilayah dan operasi keselamatan, serta kami berusaha untuk membasmi sepenuhnya aktiviti penipuan dalam talian hingga ke akar umbi,” kata Jurucakap Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara Myanmar, Mejar-Jeneral Zaw Min Tun, menurut laporan media rasmi itu.
Dalam operasi memerangi jenayah siber semalam, seramai 350 warga asing telah ditahan.
Pegawai keselamatan kanan dari negara-negara Lancang-Mekong pada minggu lalu bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam membanteras jenayah siber pada mesyuarat yang berlangsung di Vientiane, ibu negara Laos.
“Mesyuarat itu menandakan langkah penting dalam mewujudkan kerjasama enam hala peringkat kementerian demi memerangi jenayah telekomunikasi antarabangsa.
“Para delegasi memberi tumpuan kepada pembentukan mekanisme yang diselaraskan bagi mencegah, mengesan dan mengekang kegiatan penipuan telekomunikasi yang semakin menjejaskan rantau ini,” lapor Vientiane Times.
Suruhanjaya Memerangi Penipuan Dalam Talian Kemboja pula menahan dan menghantar pulang hampir 3,500 warga asing yang terlibat dalam kegiatan berkenaan dalam tempoh empat bulan lalu.
Kerajaan-kerajaan di rantau ini mengambil langkah tegas bagi membendung kegiatan penipuan yang semakin berleluasa sehingga mengakibatkan ramai mangsa kehilangan duit simpanan, mengancam keselamatan negara dan menjejaskan sektor pelancongan.
Selain itu, ribuan belia turut menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang merekrut mereka untuk bekerja di pusat-pusat penipuan di rantau berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial