YALA, 19 Nov (Bernama) -- Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) menubuhkan Pusat Sokongan Wilayah di lima wilayah selatan Thailand sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.
Setiausaha Agungnya Piyasiri Wattanavarangkul berkata SBPAC bersama 78 unit kerajaan tempatan, termasuk penjawat awam, polis, tentera serta badan bukan kerajaan (NGO) sedang membuat persiapan bagi membantu mangsa sekiranya berlaku banjir.
Beliau berkata lima wilayah yang dikenal pasti berisiko dilanda banjir ialah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun.
“Persiapan ini adalah selaras dengan arahan Perdana Menteri (Anutin Charnvirakul) yang mahukan semua pihak sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlakunya banjir kilat pada bila-bila masa, khususnya di kawasan berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, Pusat Sokongan Wilayah yang ditubuhkan itu akan dipengerusikan oleh SBPAC dengan Komander Tentera Bahagian Ke-4 sebagai penasihat, manakala para gabenor wilayah berkenaan akan bertindak sebagai timbalan pengerusi.
Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat yang dijangka melanda wilayah selatan serta angin kencang di Teluk Thailand dari 17 hingga 23 November 2025.
Banjir tahun lepas dilaporkan mengorbankan 12 mangsa dan menjejaskan 1.78 juta penduduk di lima wilayah selatan Thailand.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial