JOHOR BAHRU, 19 Nov (Bernama) -- Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd (PDT), SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd (SDGLV) dan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) telah membentuk perkongsian kerjasama strategik untuk membangunkan taman perindustrian bersepadu utama di Kulai, Johor.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, semua pihak terlibat berkata kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian langganan saham (SSA), dengan ketiga-tiga pihak akan menyertai secara bersama Eco Business Park 8 Sdn Bhd (EBP8SB), sebuah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan untuk membeli dan membangunkan tanah pegangan bebas seluas 378.47 hektar.
Mengikut perjanjian itu, EcoWorld akan memegang 65 peratus pegangan ekuiti dalam EBP8SB, SDGLV iaitu anak syarikat milik penuh SD Guthrie Bhd akan memegang 25 peratus, manakala PDT akan memiliki baki 10 peratus.
Cadangan pembangunan selama lapan hingga 10 tahun itu, akan dikenali sebagai Eco Business Park 8, mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM3.75 bilion.
Taman perniagaan itu akan menampilkan ekosistem perindustrian bersepadu yang merangkumi lot perindustrian, kemudahan siap dibina dan komponen komersial sokongan.
Direka untuk memenuhi keperluan sektor bernilai tinggi dan dipacu inovasi, projek itu akan menyasarkan perindustrian seperti rantaian bekalan berteknologi tinggi dan kecerdasan buatan, elektrik dan elektronik termaju, bioteknologi dan teknologi perubatan, teknologi makanan dan logistik.
Kedudukannya yang strategik di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), tapak itu menawarkan jarak yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kesalinghubungan yang kukuh menerusi Lebuhraya Utara Selatan.
Semua kelebihan itu meningkatkan daya tarikannya kepada pemain industri tempatan dan antarabangsa yang memerlukan akses yang cekap dan rangkaian logistik yang mantap.
Usaha sama (JV) itu dijangka menjana manfaat sinergi yang ketara dan mempercepatkan pertumbuhan ekosistem perindustrian Iskandar Malaysia.
“Ia juga sejajar dengan cita-cita Johor untuk memajukan pembangunan ekonomi jangka panjang yang mampan dan meletakkan negeri itu bagi fasa perubahan perindustrian selanjutnya,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, majlis pemeteraian hari ini menandakan JV kedua EcoWorld dengan Guthrie, susulan perkongsian pada April 2025 untuk membangunkan Eco Business Park 7 di Lembah Wawasan Malaysia 2.0, Negeri Sembilan.
Gabungan kekuatan rakan kongsi, bersama-sama dengan PDT, dijangka memberi manfaat sinergi yang besar yang akan memacu dan mengukuhkan lagi pembangunan ekosistem perindustrian Iskandar Malaysia yang dinamik.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Khim Wah berkata perkongsian itu menyatukan visi bersama bagi pembangunan mampan dan bersedia masa depan, selain menggabungkan kekuatan EcoWorld untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, terutamanya daripada sektor pembuatan termaju dan dipacu teknologi.
“Dengan lokasinya yang strategik dan kesalinghubungan yang sangat baik, kami yakin Eco Business Park 8 akan menarik pelabur berkualiti dan memberi sumbangan bermakna kepada kebangkitan Johor sebagai kuasa besar serantau yang terkemuka bagi industri dan inovasi,” katanya.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PDT Datuk Ramlee A Rahman berkata projek itu merupakan salah satu peluang utama yang disasarkan di bawah JS-SEZ.
“Dengan meletakkan pembangunan ini dalam koridor JS-SEZ di Kulai, kami bukan sahaja menawarkan tanah perindustrian, kami juga mewujudkan ekosistem berteknologi tinggi yang mampu memanfaatkan insentif JS-SEZ untuk menarik syarikat multinasional terkemuka,” katanya.
Beliau berkata projek itu sejajar dengan mandat PDT sebagai rakan kongsi utama pelaksanaan negeri, bagi memastikan kemasukan pelaburan bernilai tinggi diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Johor.
Pengarah Urusan Kumpulan SDGLV Datuk Mohamad Helmy Othman Basha pula berkata kerjasama itu membolehkan SD Guthrie mempercepatkan kemajuan dan mengukuhkan kedudukannya dalam sektor baharu.
“Jalinan kerjasama kami dengan pemain industri terkemuka seperti EcoWorld membolehkan kami mempercepatkan kemajuan dan mengukuhkan kedudukan Guthrie dalam sektor baharu.
“Bersama-sama, kami akan terus meningkatkan agenda pembangunan bagi menjana manfaat bermakna untuk Johor dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau menambah, dengan bank tanah milik SD Guthrie yang strategik di seluruh Malaysia, pembangunan perniagaan perindustrian baharu itu, walaupun masih pada peringkat awal telah menunjukkan potensi yang kukuh untuk menjadi penyumbang penting kepada keuntungan syarikat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial