DUNIA > BERITA

THAILAND PERKUKUH TINDAK BALAS BANJIR DI SELATAN

24/11/2025 02:29 PM

BANGKOK, 24 Nov (Bernama) -- Thailand mempertingkat operasi kecemasan di 10 wilayah selatan yang dilanda banjir dengan mengerah jentera serta pasukan tindak balas bagi mempercepatkan bantuan ketika hujan monsun yang lebat terus memburukkan keadaan.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) mengaktifkan pusat operasinya dan menggerakkan peralatan serta kakitangan bantuan bencana, dengan kerjasama pihak berkuasa wilayah bagi menyalurkan bantuan segera.

Ketua Pengarahnya, Teerapat Kachamat berkata jabatan itu memantau rapi cuaca dan situasi banjir, khususnya di wilayah selatan yang kini terjejas oleh tiupan angin monsun timur laut yang melanda Teluk Thailand, wilayah selatan dan Laut Andaman.

“Cuaca buruk mengakibatkan hujan lebat di banyak kawasan, menyebabkan banjir di 10 wilayah selatan termasuk Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata banjir menjejaskan 92 daerah, 581 mukim dan 4,146 kampung, memberi kesan kepada 719,858 keluarga atau 1,917,521 penduduk.

Teerapat menjelaskan bahawa paras air di rantau itu terus meningkat.

“DDPM telah mengarahkan pusat pencegahan dan mitigasi bencana di seluruh negara menggerakkan jentera serta pasukan operasi untuk membantu di Selatan dengan menempatkan anggota dan sumber ke kawasan terjejas serta lokasi berisiko banjir,” katanya.

Sementara itu, di wilayah utara dan tengah, banjir masih berlarutan di 11 wilayah hingga menjejaskan 49 daerah, 441 mukim dan 2,902 kampung, dengan 487,255 penduduk terjejas, kata Teerapat.

Beliau berkata walaupun paras air di wilayah utara dan tengah beransur surut, DDPM akan terus memantau keadaan dan menyelaras usaha bantuan sehingga situasi kembali pulih sepenuhnya.

Pihak berkuasa turut menggesa penduduk di kawasan berisiko tinggi untuk sentiasa mengikuti perkembangan dan amaran rasmi, manakala mereka yang diarahkan berpindah perlu segera berbuat demikian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan