DUNIA > BERITA

HAMPIR 20,000 SYARIKAT BERTAPAK DI TAMAN PERINDUSTRIAN QINZHOU CHINA-MALAYSIA

03/12/2025 03:30 PM

QINZHOU, 3 Dis (Bernama-CMG) -- Jumlah syarikat yang beroperasi di Taman Perindustrian Qinzhou China Malaysia (CMQIP)  di wilayah Guangxi mencapai 19,797 setakat hujung Oktober tahun ini, antaranya termasuk 296 syarikat asing dan 19 syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Perdagangan dan Logistik CMQIP, Lin Gang memaklumkan bahawa sebagai projek ikonik kerjasama antarabangsa di bawah  ‘Dua Negara, Taman Berkembar’, CMQIP telah membina rantaian perindustrian dan bekalan rentas sempadan membabitkan sarang burung walet, minyak sawit, bahan kimia baharu dan lain-lain.

Taman itu juga berjaya mewujudkan platform rantaian lengkap industri sarang burung walet yang pertama di China merangkumi pengimportan, pemprosesan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Kini, sebanyak 25 syarikat pengeluar sarang burung walet bertapak di taman perindustrian itu, termasuk empat syarikat dari Malaysia dan dua syarikat dari Singapura.

Untuk rekod, nilai output industri sarang burung walet dalam tiga suku pertama tahun ini direkod melebihi 478 juta yuan (RM279 juta).

Lin berkata pihaknya akan terus memperkasa kerjasama China-Malaysia berasaskan model ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ dengan memanfaatkan Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu di bahagian barat China.

Menurut beliau, usaha juga akan dilakukan untuk menggalakkan penghantaran kontena terus antara Pelabuhan Qinzhou dan Pelabuhan Kuantan serta mempercepat pembinaan hab rantaian bekalan komoditi pukal yang menyasarkan ASEAN.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan