DUNIA > BERITA

PM ANWAR LAKUKAN LAWATAN KERJA KE SINGAPURA ESOK UNTUK PEMUKIMAN PEMIMPIN KE-12

03/12/2025 05:39 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja ke Singapura pada Khamis (4 Dis) bagi menghadiri Sesi Pemukiman Pemimpin - Pemimpin Malaysia - Singapura ke-12.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata pada pemukiman itu, pemimpin kedua-dua negara akan menilai kemajuan kerjasama dalam bidang utama, membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, serta merangka peluang baharu bagi memperkukuh perkongsian Malaysia - Singapura.

Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia - Singapura merupakan platform tertinggi bagi kedua-dua negara menilai keadaan  keseluruhan hubungan dua hala dan telah dianjurkan secara bergilir-gilir sejak 2007.

Semasa lawatan itu, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Perjanjian antara Malaysia dan Singapura, yang mencerminkan peluasan skop kerjasama antara kedua-dua negara.

Satu Kenyataan Bersama Pemimpin akan dikeluarkan pada penghujung sesi pemukiman.

Anwar akan diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi rasmi.

Sebagai negara jiran rapat dan rakan utama ASEAN, Malaysia dan Singapura menikmati kerjasama kukuh merentasi pelbagai sektor.

Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah US$78.70 bilion (RM339.39 bilion) dari Januari hingga Oktober 2025, mewakili 13.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan