DUNIA > BERITA

MALAYSIA KECAM PENCEROBOHAN ISRAEL KE PREMIS UNRWA DI BAITULMUQADDIS TIMUR

09/12/2025 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan haram pihak berkuasa Israel menceroboh premis Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, pada Isnin.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata tindakan itu termasuk rampasan haram harta benda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta penurunan bendera PBB.

“Tindakan Israel merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam PBB, Konvensyen PBB mengenai Keistimewaan dan Kekebalan 1946, serta resolusi-resolusi berkaitan perlindungan petugas dan operasi kemanusiaan PBB, seperti ditegaskan semula dalam Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 22 Okt 2025,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Wisma Putra berkata UNRWA kekal sebagai talian hayat penting bagi jutaan penduduk di Wilayah Palestin Yang Diduduki dan pelarian Palestin, serta Malaysia menganggap sebarang usaha menghalang, menafikan mandat atau membubarkan operasi agensi itu menyalahi undang-undang dan tidak dapat diterima dari segi moral.

Sejak penubuhannya, UNRWA telah memberikan perkhidmatan penting kepada lebih 5.9 juta pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah, termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, khususnya ketika situasi konflik yang meruncing.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya.

Pada Isnin, Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa polis Israel menceroboh ibu pejabat UNRWA  di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Pentadbiran Gabenor Baitulmuqaddis yang bernaung di bawah Pihak Berkuasa Palestin berkata pasukan polis menahan pengawal keselamatan serta merampas telefon mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan