DUNIA > BERITA

LARANGAN MEDIA SOSIAL BAWAH 16 TAHUN DI AUSTRALIA BERKUAT KUASA DI TENGAH PERUBAHAN GLOBAL

10/12/2025 12:00 PM

Oleh Ahmad Idzwan Arzmi

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Negara di seluruh dunia sedang melaksanakan sekatan berasaskan umur atau syarat ketat mendapatkan kebenaran ibu bapa bagi golongan bawah umur, ketika undang-undang baharu Australia berkuat kuasa sepenuhnya pada Rabu (10 Dis).

Denmark merancang untuk melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 15 tahun, namun akses masih dibenarkan dari umur 13 tahun dengan kebenaran jelas daripada ibu bapa.

Langkah itu susulan seruan Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen pada November lalu supaya sekatan media sosial terhadap kanak-kanak diperketat berikutan kebimbangan mengenai kesihatan mental golongan muda.

Norway turut menuju ke arah sama apabila mengumumkan rancangan undang-undang baharu yang menetapkan umur minimum 15 tahun untuk akses media sosial.

Draf itu akan menentukan platform yang terlibat serta menjelaskan bahawa matlamatnya adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya, eksploitasi komersial dan penyalahgunaan data, sambil mengiktiraf hak mereka untuk bersuara dan mendapatkan maklumat.

Jun lalu, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata beliau akan menggesa penggubalan peraturan Kesatuan Eropah (EU) untuk melarang media sosial bagi golongan bawah 15 tahun susulan insiden tikaman di sebuah sekolah di negara itu.

Suruhanjaya parlimennya turut mengesyorkan larangan penuh media sosial untuk bawah 15 tahun dan "perintah berkurung digital" pada waktu malam bagi remaja berumur 15 hingga 18 tahun.

Di Sepanyol, draf undang-undang untuk melindungi golongan bawah umur dalam persekitaran digital akan menaikkan umur minimum membuka akaun media sosial daripada 14 kepada 16 tahun dan mewajibkan kebenaran jelas daripada ibu bapa atau penjaga sah bagi sesiapa di bawah umur itu.

Sesetengah negara memilih syarat kebenaran ibu bapa berbanding larangan penuh.

Di Jerman, kanak-kanak bawah 16 tahun perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa untuk menggunakan perkhidmatan media sosial.

Di United Kingdom, peraturan keselamatan baharu dikenali sebagai Kod Kanak-Kanak yang diperkenalkan pada Julai 2025 di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian mengkehendaki platform media sosial menghalang golongan bawah umur daripada terdedah kepada kandungan haram dan berbahaya.

Syarikat dalam talian boleh dikenakan denda besar atau hukuman penjara terhadap eksekutif jika gagal melaksanakan langkah berkenaan.

Di peringkat EU, Parlimen pada November meluluskan resolusi tidak mengikat yang menggesa umur minimum 16 tahun untuk akses media sosial di seluruh blok, dengan remaja 13 hingga 15 tahun hanya dibenarkan menggunakan platform dengan kebenaran ibu bapa, serta mengehadkan ciri rekaan ketagihan seperti skrol tanpa had dan main automatik untuk pengguna muda.

Kerajaan New Zealand yang diterajui Perdana Menteri Christopher Luxon menyokong Rang Undang-Undang Media Sosial (Pengguna Berusia Terhad) berasaskan pendekatan Australia, yang akan melarang golongan bawah 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial.

Negara lain turut cuba memperkenalkan had ketat berasaskan umur tetapi berdepan tentangan.

Di Amerika Syarikat, beberapa negeri cuba melarang golongan bawah 18 tahun daripada menggunakan media sosial tanpa kebenaran ibu bapa, namun banyak undang-undang itu berdepan cabaran perlembagaan dan kebebasan bersuara di mahkamah.

Pengkritik larangan berasaskan umur memberi amaran bahawa langkah itu sukar dikuatkuasakan dari segi teknikal, boleh mendorong remaja menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) atau platform kurang dikawal selia, dan menimbulkan kebimbangan baharu mengenai privasi kerana keperluan mengumpul serta menyimpan data identiti sensitif.

Ketika larangan bawah 16 tahun Australia berkuat kuasa, penggubal dasar di seluruh dunia sedang memerhati rapat sama ada langkah perintis ini benar-benar dapat mengurangkan risiko dalam talian tanpa memutuskan golongan muda daripada hubungan sosial dan maklumat penting.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan