DUNIA > BERITA

20 RAKYAT MALAYSIA MANGSA SINDIKET PENIPUAN PEKERJAAN DI MYANMAR SELAMAT DIBAWA PULANG

11/12/2025 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Luar berjaya memudah cara pemulangan seramai 20 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar. 

Kumpulan itu selamat tiba di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada 7.20 malam, 10 Dis, dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut, menurut kementerian itu dalam kenyataan, Khamis. 

Ia memaklumkan melalui penyelarasan antara pihak berkuasa di Myanmar, Thailand dan Malaysia, pegawai daripada Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah melakukan perjalanan ke Myawaddy melalui Jambatan Persahabatan Kedua Mae Sot-Myawaddy untuk mengesahkan identiti serta menerima rakyat Malaysia terbabit.

"Rakyat Malaysia itu adalah antara beberapa warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi baru-baru ini bagi membanteras sindiket penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy," katanya.

Kedutaan turut menyediakan bantuan konsular menyeluruh, termasuk memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa, mengeluarkan dokumen perjalanan sementara, mengatur pengangkutan, menyediakan keperluan asas seperti makanan dan pelitup muka, serta mengiringi mangsa sepanjang perjalanan 26 jam dari Mae Sot ke Bukit Kayu Hitam.

Menurut kenyataan itu, usaha pemulangan terbaru itu merupakan kesinambungan kepada operasi terdahulu bagi membantu kepulangan rakyat Malaysia yang terperangkap dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

Kejayaan misi terbaru itu adalah hasil kerjasama  erat antara Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, katanya.

Kementerian itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas sokongan dan bantuan dalam memudah cara dan mempercepatkan pemulangan 20 rakyat Malaysia tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan