DUNIA > BERITA

RAJA CHARLES UMUM PENGURANGAN RAWATAN KANSER

13/12/2025 05:27 PM

LONDON, 13 Dis (Bernama-PA Media/dpa) -- Raja Charles III mengumumkan bahawa rawatan kansernya akan dikurangkan pada tahun baharu, sambil menggesa orang ramai supaya memanfaatkan saringan penyakit yang disediakan, lapor PA Media/dpa.

Perkembangan terkini mengenai kesihatan baginda dikongsikan menerusi satu mesej video bagi menyokong kempen Stand Up To Cancer. 

Baginda bertitah bahawa “berita baik” itu adalah hasil diagnosis awal, rawatan berkesan serta pematuhan terhadap “arahan doktor”.

Ketua negara itu telah menjalani rawatan kanser sebagai pesakit luar sejak awal Februari 2024, yang dipercayai melibatkan lawatan mingguan ke London Clinic, namun sesi rawatan berkenaan akan dikurangkan dengan ketara.

Baginda turut berkongsi bahawa berdasarkan pengalamannya sendiri, “diagnosis kanser boleh terasa amat membebankan”, selain memberi penghormatan kepada “komuniti penjagaan” yang terdiri daripada pakar, jururawat, penyelidik dan sukarelawan. 

 “Diagnosis awal secara ringkasnya menyelamatkan nyawa.

“Kini, saya telah berulang kali mendengar mesej ini semasa lawatan saya ke pusat-pusat rawatan kanser di seluruh negara. Saya juga mengetahui sejauh mana perbezaan yang dibawanya dalam kes saya sendiri, yang membolehkan saya terus menjalani kehidupan yang penuh dan aktif, walaupun ketika menjalani rawatan.

“Malah, hari ini saya dapat berkongsi berita baik bahawa hasil diagnosis awal, intervensi berkesan dan pematuhan terhadap ‘arahan doktor’, jadual rawatan kanser saya sendiri dapat dikurangkan pada tahun baharu,” titah baginda. 

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan