BEIJING, 22 Dis (Bernama-CMG) -- China sentiasa menjunjung keterbukaan dan bersedia berkongsi teknologi maju dengan negara-negara Afrika, kata Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud.
Mohamud berkata Somalia kini berdepan kekurangan bekalan makanan yang serius susulan bencana kemarau yang melanda negara itu.
Beliau berkata Somalia sebenarnya mempunyai potensi untuk mencapai kemampuan sara diri dalam bekalan makanan, namun masih berdepan cabaran dari segi teknologi, integrasi sumber serta kepakaran.
Menurut beliau, China mula memberi sokongan kepada Somalia dalam sektor pertanian sejak tahun 1970-an, termasuk membantu memperkenalkan teknologi penanaman padi.
“Kini, penanaman padi telah menjadi antara industri pertanian utama di Somalia,” katanya dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.
Mohamud turut merakamkan penghargaan terhadap kemajuan pesat yang dicapai China dalam bidang teknologi.
Beliau berkata semua syarikat telekomunikasi di Somalia menggunakan teknologi dari China, meliputi perkhidmatan internet, telefon dan lain-lain.
“Perkembangan ini mencerminkan komitmen China dalam menjunjung keterbukaan serta berkongsi teknologi maju dengan Afrika.
“Ia turut membawa peluang kepada dunia, khususnya benua Afrika,” katanya.
Beliau berkata, keterbukaan China kepada dunia luar telah mewujudkan prasyarat penting bagi negara-negara Afrika memperluas kerjasama dengan China.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial