DUNIA > BERITA

PERUBAHAN DIBAWA BRI KETARA, BAIK KINI MAHUPUN AKAN DATANG - PRESIDEN DOMINICA

29/12/2025 02:45 PM

BEIJING, 29 Dis (Bernama-CMG) -- Presiden Dominica Sylvanie Burton berkata bahawa Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang menekankan pembinaan bersama amat penting bagi negaranya. 

Kerajaan China kini membantu Dominica membina semula enam buah sekolah rendah yang musnah atau rosak akibat Taufan 'Maria', termasuk sebuah sekolah menengah yang baharu.

Menurut beliau, di bawah kerangka BRI, China membantu negaranya melaksanakan banyak projek yang membawa perubahan kepada kehidupan harian rakyat tempatan. 

"Contohnya, terdapat sebuah jalan raya yang menghubungkan utara dengan selatan yang merupakan kawasan bandar di negara kami. 

"Dahulu, kami memerlukan masa dua jam untuk melakukan perjalanan dari utara ke selatan, tetapi kini hanya memerlukan kira-kira satu jam, atau kurang daripada itu. 

"Selain itu, selepas dilanda Taufan ‘Maria’, lima hingga enam jambatan di jalan utama ini telah rosak atau musnah. 

"Kerajaan China membuat keputusan untuk membantu kami membina semula jambatan-jambatan yang musnah, demi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalanraya. 

"Inisiatif BRI menyediakan banyak projek untuk Dominica. 

"Kami menzahirkan harapan terhadap projek-projek ini, terutama projek berkaitan lapangan terbang antarabangsa yang diharap siap dibina dan beroperasi secepat mungkin. 

"Kami juga teruja dengan projek pembinaan terbabit yang berjalan lancar pada masa kini," kata Burton. 

Ketika diminta mengulas mengenai empat inisiatif global yang disarankan Presiden China Xi Jinping iaitu Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global, Inisiatif Peradaban Global dan Inisiatif Tadbir Urus Global dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa di bawah situasi semasa, dunia sedang berada di satu persimpangan jalan. 

"Kita memerlukan pemimpin yang berani tampil ke depan, berani memikul tanggungjawab dan berani bersuara, mengemukakan inisiatif, serta membawa idea dan pendekatan penyelesaian baharu," katanya.  

Beliau berpendapat bahawa inisiatif yang digagaskan oleh Xi berteraskan komitmen terhadap kepentingan bersama seluruh umat manusia, sekali gus memastikan pembentukan masa depan bersama yang inklusif, melibatkan bukan sahaja negara besar tetapi juga negara kecil. 

"Komitmen Xi tidak menjadikan negara-negara kecil tercicir dalam kerjasama antarabangsa dan dilihat sangat penting. 

"Setiap negara termasuk yang selama ini kurang berpengaruh dalam urusan global berhak menyuarakan pandangannya. 

"Dalam urusan antarabangsa, setiap negara sewajarnya berhak bersuara dan kedaulatan setiap negara harus dihormati. Saya percaya ini yang diperjuangkan Xi," tegas Burton.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan