DUNIA > BERITA

SALJI SEBABKAN KESESAKAN LALU LINTAS 23KM DI LEBUH RAYA BARAT JEPUN

03/01/2026 06:44 PM

HIROSHIMA, 3 Jan (Bernama-Kyodo) -- Salji tebal mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang 23 kilometer (km) di sebuah lebuh raya di barat Jepun semalam, yang dipercayai melibatkan kira-kira 3,000 kenderaan terkandas semalaman, lapor Agensi Berita Kyodo yang memetik operator lebuh raya dan bomba tempatan.

Pihak polis tempatan memaklumkan satu panggilan kecemasan diterima kira-kira pukul 7.20 malam pada Jumaat yang melaporkan sebuah kereta menggunakan tayar biasa terkandas dalam salji di satu seksyen di Lebuhraya Sanyo, Wilayah Hiroshima.

Menurut polis, pemandu daripada sekurang-kurangnya empat kenderaan lain turut membuat panggilan serupa selepas terkandas di kawasan yang sama.

Pihak bomba berkata seorang lelaki berusia 30-an yang terperangkap dalam kesesakan itu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengadu mengalami masalah telinga berdesing, pening dan loya.

Kesesakan itu berlaku ketika ramai pemandu dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas bercuti sempena sambutan Tahun Baharu di kampung halaman.

Seorang wanita berusia 40-an menceritakan bahawa dia bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke Tokyo dari Wilayah Oita sebelum terperangkap selama kira-kira 12 jam bermula pukul 7.30 malam pada Jumaat.

"Saya terperangkap di dalam terowong di mana tiada perkhidmatan talian telefon, dan saya merasa sangat bimbang," katanya.

Syarikat West Nippon Expressway telah menutup sebahagian daripada kedua-dua lorong di antara wilayah Hiroshima dan Yamaguchi.

Agensi Meteorologi Jepun melaporkan salji tebal melanda kawasan berkenaan pada Jumaat bermula dari petang sehingga lewat malam.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan