OSLO, 5 Jan (Bernama-Xinhua) -- Menteri Luar Norway Espen Barth Eide menegaskan pada Ahad bahawa kedaulatan sesebuah negara mesti dihormati selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekali lagi menyatakan AS memerlukan Greenland, lapor Xinhua.
"Kenyataan beliau yang diulangi itu mengingatkan kita betapa pentingnya untuk mempertahankan prinsip-prinsip asas. Kedaulatan sesebuah negara mestilah dihormati," kata Eide dalam satu temu bual bersama penyiar Norway, NRK.
Beliau berkata Norway, seperti negara Eropah yang lain, menyatakan solidariti bersama Denmark dan menambah bahawa sebarang perubahan dalaman dalam Kerajaan Denmark adalah keputusan rakyat Denmark dan Greenland sendiri, bukannya pihak lain.
Eide turut berkata bahawa tidak ada kaitan langsung antara campur tangan AS di Venezuela dengan Denmark atau Greenland, sambil memetik perbezaan konteks sejarah yang ketara.
Trump dalam satu temu bual telefon dengan The Atlantic pada Ahad berkata AS "secara mutlak" memerlukan Greenland. Beliau turut membincangkan campur tangan AS di Venezuela.
Sebagai tindak balas, Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen dalam satu kenyataan berkata AS tidak mempunyai hak untuk mendarat atau merampas Greenland, serta menggesa Washington supaya menghentikan ancaman terhadap sekutu rapat dan rakyat Greenland.
Bulan lepas, Trump mengumumkan pelantikan Gabenor Louisiana, Jeff Landry sebagai utusan khas AS ke Greenland, sekali gus memperbaharui ketegangan diplomatik antara Washington dan Kerajaan Denmark.
Sejak memegang jawatan pada Januari 2025, Trump berulang kali menyatakan minat untuk menguasai Greenland dan berkata beliau tidak menolak penggunaan "paksaan ketenteraan atau ekonomi" untuk mencapai matlamat itu.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial