Oleh Rohani Ibrahim
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Bangladesh berhasrat memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia, dengan usaha memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah lama dibincangkan sebagai keutamaan utamanya tahun ini.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Manjurul Karim Khan Chowdhury berkata rundingan FTA itu bermula beberapa tahun lepas dan menunjukkan kemajuan susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dhaka pada 2024.
“Setakat ini, kami telah bersetuju mengenai terma dan syarat rundingan FTA. Matlamatnya sudah tentu untuk memuktamadkannya secepat mungkin. Namun rundingan seperti ini sangat kompleks dan rumit. Ia mengambil masa,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di pejabatnya baru-baru ini.
Menurut Chowdhury, selain perdagangan, Bangladesh turut berhasrat memperluas kerjasama dengan Malaysia dalam teknologi digital serta pendidikan.
Pada masa ini, lebih 10,000 pelajar Bangladesh menuntut di Malaysia, menjadikan negara Asia Selatan itu sumber kedua terbesar pelajar antarabangsa di Malaysia. Guru dari Bangladesh juga mengajar di universiti dan kolej di Malaysia, katanya.
Beliau berkata hubungan antara Bangladesh dan Malaysia kadangkala digambarkan oleh media seolah-olah hanya bertumpu kepada penyediaan tenaga kerja Bangladesh kepada Malaysia.
“Kami mahu keluar daripada gambaran ini,” kata Chowdhury sambil menambah bahawa Suruhanjaya Tinggi berharap dapat melihat tumpuan media yang lebih besar terhadap pertumbuhan sektor-sektor lain dalam hubungan dua hala.
“Ini kerana dalam aspek sumber manusia, kami telah mencapai tahap tertentu. Ia memuaskan. Namun satu perkara yang sentiasa menjadi fokus kami ialah kebajikan pekerja kami di Malaysia, dan kami akan terus berhubung dengan kerajaan Malaysia,” katanya.
Chowdhury turut menegaskan bahawa hubungan Kuala Lumpur-Dhaka akan kekal kukuh dan konstruktif pada masa hadapan, sambil menambah bahawa hubungan yang telah lama terjalin dam kini memasuki tahun ke-54 itu akan terus diperkukuh dan diperluas ke bidang yang lebih bermakna.
Beliau berkata dua tahun kebelakangan ini menyaksikan pengukuhan hubungan peringkat tinggi antara kedua-dua negara.
Anwar melawat Bangladesh pada Oktober 2024, manakala Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus melawat Malaysia pada Ogos 2025.
“Kedua-dua pemimpin itu telah bersetuju mengenai banyak perkara semasa lawatan mereka. Dan selepas pilihan raya umum ke-13 Bangladesh pada 12 Feb, sesiapa pun yang menerajui kepemimpinan seterusnya, hubungan dan kerjasama lebih erat dengan Malaysia akan diberikan keutamaan.
“Ini kerana Malaysia adalah rakan yang stabil dan rakan kongsi Bangladesh. Hubungan ini tidak berat sebelah, ia berasaskan persaudaraan dan saling menghormati, serta kerjasama dua hala yang saling menguntungkan,” katanya.
Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (US$2.92 bilion), meningkat 5.1 peratus berbanding 2023.
Bangladesh merupakan rakan dagang dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan. Antara eksport utama ialah produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import dari Bangladesh merangkumi tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan perkilangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial