DUNIA > BERITA

VENEZUELA SAHKAN 47 ASKAR MAUT DALAM OPERASI AS TANGKAP MADURO

17/01/2026 01:11 PM

ISTANBUL, 17 Jan (Bernama-Anadolu) -- Venezuela mengesahkan seramai 47 askarnya terkorban dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini yang membawa kepada penangkapan Presiden Nicolas Maduro, lapor Anadolu Ajansi.

Menteri Pertahanan Vladimir Padrino Lopez memberitahu televisyen kerajaan bahawa anggota Angkatan Bersenjata Negara Bolivarian terkorban ketika berdepan teknologi canggih dan sumber ketenteraan yang jauh lebih besar dikerahkan terhadap negara itu.

Sambil menekankan bahawa 32 warga Cuba turut terbunuh dalam serangan itu, Lopez berkata pihak tentera kini mengaktifkan “Pelan Ayacucho” bagi meningkatkan keupayaan pertahanan.

Beliau mengakui bahawa terdapat keperluan untuk menyemak dan menyusun semula angkatan tentera bagi menyesuaikan diri dengan realiti baharu, sambil menegaskan bahawa matlamat utama adalah untuk mengukuhkan kekuatan ketenteraan demi memastikan penghormatan terhadap negara serta pelaksanaan penuh Perlembagaan.

Lopez menambah bahawa walaupun Venezuela sedang melalui detik kritikal, kehormatan dan maruah angkatan tenteranya kekal utuh.

Letupan menggegarkan Caracas pada 3 Jan lepas ketika Presiden AS Donald Trump mengumumkan satu operasi besar yang membawa kepada penangkapan Maduro dan isterinya Cilia Flores.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan