DUNIA > BERITA

KETUA PBB SERU PEMULIHAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA

27/01/2026 06:11 PM

NEW YORK, 27 Jan (Bernama-Xinhua) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin menyeru negara anggota badan dunia itu supaya kembali komited  kepada penghormatan penuh undang-undang antarabangsa, lapor Xinhua.

“Kedaulatan undang-undang adalah asas kepada keamanan dan keselamatan global. Ia merupakan kunci kepada hubungan persahabatan antara negara dan wilayah di dunia, serta nadi kepada Piagam PBB,” katanya pada perbahasan terbuka Majlis Keselamatan mengenai kedaulatan undang-undang antarabangsa.

Menurut beliau, selama 80 tahun, ia membantu manusia mengelakkan perang dunia ketiga dan mengurangkan angka korban dalam konflik-konflik kecil yang tidak terkira banyaknya.

Piagam PBB dan instrumen undang-undang antarabangsa lain telah menyumbang kepada pembentukan sistem keselamatan kolektif yang kukuh dan berdaya tahan.

Guterres berkata sistem itu melarang ancaman atau penggunaan kekerasan, mengikat semua negara -- besar atau kecil -- kepada peraturan yang sama serta menjunjung prinsip kedaulatan, kemerdekaan politik dan keutuhan wilayah negara.

“Bagi negara kecil dan kurang berpengaruh, serta negara yang terkesan akibat ketidaksamaan sejarah dan legasi penjajahan yang merosakkan, undang-undang antarabangsa merupakan penyelamat yang menjanjikan layanan sama rata, kedaulatan, maruah dan keadilan.

“Bagi negara kuasa besar pula, ia menjadi “landasan yang menetapkan” apa yang boleh diterima dan apa yang tidak ketika berlakunya perselisihan faham, perpecahan mahupun konflik terbuka," kata Guterres.

Beliau berkata para pengasas PBB memahami bahawa masalah global hanya boleh diselesaikan bukan melalui senjata perang, tetapi melalui diplomasi yang disokong oleh sistem berasaskan undang-undang antarabangsa, dialog dan kerjasama, bukannya persaingan geopolitik.

Beliau memberi amaran bahawa di seluruh dunia, kedaulatan undang-undang sedang digantikan oleh “undang-undang rimba”, dengan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta pengabaian terhadap Piagam PBB.

“Kita menyaksikan negara melanggar undang-undang antarabangsa tanpa hukuman: melalui penggunaan kekerasan secara haram, menyasarkan infrastruktur awam,  pelanggaran hak asasi manusia, pembangunan senjata nuklear secara tidak sah, perubahan kerajaan secara tidak berperlembagaan, serta penafian bantuan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa,” kata Guterres.

“Pelanggaran-pelanggaran ini mencipta duluan berbahaya, menggalakkan negara lain bertindak sesuka hati dan bukannya mengikut kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa. Ia menimbulkan ketidakpercayaan dan perpecahan serta melemahkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan kita mencari penyelesaian bersama.”

Guterres turut menyeru negara anggota untuk menegakkan matlamat serta prinsip Piagam PBB, memanfaatkan sepenuhnya mekanisme penyelesaian pertikaian untuk mencegah konflik, dan menggalakkan penggunaan prosiding kehakiman yang adil dan bebas.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan