DUNIA > BERITA

GAJAH SUMATERA DITEMUKAN MATI DI ACEH

23/02/2026 12:55 AM

JAKARTA, 22 Feb (Bernama) -- Seekor gajah Sumatera, spesies yang sangat dilindungi di Indonesia, ditemukan mati di kawasan ladang penduduk di Aceh Tengah, dipercayai akibat terkena renjatan kabel elektrik bervoltan tinggi.

Ketua Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Aceh, Ujang Wisnu Barata berkata bangkai gajah betina yang dianggarkan berusia kira-kira 20 tahun itu ditemukan pada Sabtu, susulan laporan daripada penduduk setempat.

"Gajah itu disyaki mati pada Jumaat malam (20 Feb). Semasa ditemukan, belalai gajah berkenaan masih terlilit pada kabel elektrik," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh BKSDA Aceh pada Ahad.

Gajah Sumatera disenaraikan sebagai spesies dilindungi di bawah undang-undang pemuliharaan Indonesia yang dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, menjadikannya satu kesalahan di bawah undang-undang untuk membunuh, menangkap atau memperdagangkan haiwan berkenaan.

Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), subspesies ini juga diklasifikasikan sebagai Terancam Kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) berikutan penurunan populasi yang disebabkan oleh kehilangan habitat serta konflik manusia-hidupan liar.

Ujang berkata pihak berkuasa telah memasang garisan polis di sekitar lokasi kejadian untuk mengawal kawasan itu sementara menunggu ketibaan pasukan veterinar bagi menjalankan bedah siasat  dan menguruskan penanaman bangkai gajah itu.

Beliau turut mengeluarkan amaran keras terhadap penggunaan dawai elektrik bervoltan tinggi, dengan menegaskan bahawa amalan sedemikian mendatangkan risiko serius bukan sahaja kepada hidupan liar tetapi juga terhadap keselamatan manusia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan