SUKAN > BERITA

LIGA SUPER: JDT KEKALKAN REKOD TANPA KALAH TEWASKAN SABAH 6-1

23/02/2026 12:35 AM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menewaskan tuan rumah Sabah FC 6-1 dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.

Bermula babak pertama menyaksikan permainan kedua-dua pasukan agak seimbang dan masing-masing cuba mengatur serangan namun pada minit kelima pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas kekasaran yang dilakukan oleh Dane Ingham yang disahkan melalui Video Bantuan Pengadil (VAR).

Sepakan penalti berkenaan disempurnakan penyerang import dari Brazil Bergson Da Silva pada minit ketujuh sebelum menggandakan kedudukan apabila Ajdin Mujagic berjaya menghasilkan jaringan dengan  rembatan cantik di kawasan kotak penalti pada minit ke-20.

Selang empat minit kemudian skuad Harimau Selatan menambah derita Sabah hasil penyudah Oscar Aribas sebelum Mujagic sekali lagi merembat bola ke gawang tuan rumah pada minit ke-38. 

Bersambung babak kedua JDT tidak menunggu lama untuk menghukum Sabah dengan jaringan Manuel Hidalgo.

Tidak cukup dengan itu skuad kendalian Xisco Munoz terus menjarakkan kedudukan menerusi jaringan kedua Oscar menambah lagi jurang hasil sepakan mudah di kawasan kotak penalti menjadikan kedudukan 6-0.

Pada minit ke-87 Sabah akhirnya memecah kebuntuan hasil rembatan kencang Chris Marlon Ondong-Mba penyerang dari Perancis menjadikan kedudukan 1-6.

Keputusan itu menyaksikan JDT kekal di tangga teratas carta Liga Super dengan rekod tanpa kalah selain mengutip 51 mata manakala Sabah di kedudukan ke-11 dengan 14 mata. 

Sementara itu, Selangor FC mengutip tiga mata penuh dengan meskipun terpaksa bekerja keras menumpaskan Kuching City FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini. 

Jaringan tunggal itu diperoleh hasil penyudah Chrigor Moraes selepas menerima hantaran Quentin Cheng pada minit ke-86. 

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menyaksikan Kuala Lumpur City menang bergaya ke atas DPMM 4-0. 

Jaringan skuad The City Boys masing-masing disudah Muhammad Safawi Rasid pada minit kesembilan dan ke-18 dan dua lagi jaringan menerusi Paulo Josue (minit ke-61) dan Victor Ruiz pada minit ke-70.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan