KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei yang berpotensi mencetuskan ketidakstabilan serius dan berpanjangan di Timur Tengah.
Dalam catatan di platform X, beliau menegaskan bahawa serangan yang disengajakan terhadap ketua negara mewujudkan duluan berbahaya dan melemahkan norma serta prinsip yang menjadi asas tatanan antarabangsa.
“Mereka yang menyambut kematiannya dengan kegembiraan harus menyedari akibat daripada tindakan sebegini. Ancaman yang bersifat eksistensial jarang memberikan tindak balas yang dapat dijangka,” katanya.
.Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran pada detik yang amat mencabar ini, namun menekankan agar pihak berkuasa Iran bertindak dengan penuh berhemah.
Beliau berkata bahawa Malaysia menyokong kenyataan negara-negara prihatin yang menyeru semua pihak agar tidak meningkatkan ketegangan.
"Malaysia menyeru gencatan senjata segera, perlindungan terhadap orang awam serta kembalinya dialog serius. Krisis ini tidak boleh diselesaikan melalui kekerasan. Ia memerlukan diplomasi, kesabaran dan iltizam politik, “katanya.
Anwar menekankan bahawa keutamaan beliau ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Iran, negara-negera Teluk dan Timur Tengah secara amnya.
“Bagi semua rakyat Malaysia di kawasan terjejas, kerajaan mengambil setiap langkah yang mungkin untuk memastikan keselamatan anda. Misi kita telah diberikan mandat dan sumber penuh untuk membantu anda,” katanya.
Beliau turut menyatakan kerajaan akan menilai dengan segera kesan ekonomi konflik ini, termasuk risiko terhadap ruang udara serantau dan kebebasan navigasi melalui Selat Hormuz.
“Keselamatan perdagangan dan sumber tenaga Malaysia terlibat secara langsung dan kita akan bertindak mengikut keperluan untuk menjaga kepentingan negara,” katanya.
Berita kematian Khamenei disahkan pagi ini apabila saluran penyiaran milik negara itu, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), mengumumkan bahawa 'Pemimpin Agung Iran telah syahid'
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Israel mendakwa Khamenei maut dalam serangan bersama yang dilancarkan ke atas negara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial