PARIS, 11 Mac (Bernama-dpa) -- Sebanyak 32 negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) akan mengadakan mesyuarat tergempar lewat Selasa di tengah-tengah keadaan pasaran minyak global semakin tegang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mesyuarat itu akan menilai “keselamatan bekalan semasa dan keadaan pasaran,” yang akan membantu menentukan sama ada negara anggota perlu melepaskan rizab minyak strategik, menurut agensi itu.
Pengarah Eksekutif IEA Fatih Birol mengadakan perbincangan itu bersama kerajaan negara anggota agensi berkenaan.
Terdahulu pada Selasa, IEA menganjurkan mesyuarat menteri tenaga Kumpulan Tujuh (G7).
“Dalam pasaran minyak, keadaan telah merosot sejak beberapa hari kebelakangan ini,” kata Birol dalam satu kenyataan selepas perbincangan itu.
“Selain cabaran transit melalui Selat Hormuz, sejumlah besar pengeluaran minyak telah dikurangkan. Keadaan ini mewujudkan risiko besar yang semakin meningkat terhadap pasaran.”
“Kami membincangkan semua pilihan yang ada, termasuk menyediakan stok minyak kecemasan IEA kepada pasaran.”
Sebanyak 32 anggota IEA memiliki kira-kira 1.2 bilion tong rizab minyak kecemasan, menurut agensi itu. Selain itu, organisasi yang berpangkalan di Paris itu menganggarkan stok industri berjumlah sekitar 600 juta tong lagi.
Sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu, IEA menyatakan pelepasan secara terselaras telah berlaku sebanyak lima kali.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial