KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Serangan ke atas pangkalan dan kemudahan Amerika Syarikat (AS) di beberapa negara Asia Barat telah mendedahkan kelemahan dalam pepasangan milik AS selain menandakan peralihan dalam perseimbangan strategik rantau itu, menurut seorang penganalisis.
Profesor Madya Dr Rahul Mishra dari School of International Studies, Jawaharlal Nehru University berkata Iran bertindak dengan lebih rasional dalam konflik ini sambil pada masa yang sama menunjukkan keupayaannya.
“Pangkalan dan kemudahan AS tidak kebal daripada sebarang serangan pihak lawan, dalam kes ini, Iran.
“Imbangan kuasa di rantau ini juga berubah dengan pantas, dengan keseimbangan strategik yang sebelum ini wujud kini mula tergugat,” katanya dalam program Bernama TV, Bernama World, baru-baru ini.
Mishra yang juga Felo Penyelidik Kanan di Universiti Thammasat, Thailand berkata ketidakstabilan dalam keseimbangan strategik itu boleh memberi implikasi yang lebih luas kepada rantau berkenaan. Walaupun Iran cuba meyakinkan negara jiran di Teluk bahawa serangannya menyasarkan pangkalan AS, kebimbangan tetap wujud.
"Situasi ini dalam jangka masa panjang akan menjadi stabil, namun situasi dijangka menjadi lebih buruk terlebih dahulu sebelum bertambah baik,” katanya.
Sementara itu, Mishra berkata keputusan AS setakat ini untuk tidak mengerahkan tentera darat ke Iran mencerminkan strategi Washington untuk mengekalkan konflik pada tahap minimum sambil menyokong Israel dari segi logistik serta mengekalkan kehadiran ketenteraan yang kuat di negara-negara Teluk.
“Terdapat tiga objektif yang sangat jelas bagi AS dalam konflik dengan Iran ini. Pertama, mengekalkan konflik pada tahap minimum dan tidak membiarkannya meningkat sehingga Iran berhadapan secara langsung dengan AS.
“Kedua, menghormati dan melaksanakan perjanjian kukuh dengan Israel dengan terus menyokong negara itu sama ada dari segi logistik, bekalan atau perkongsian risikan dan ketiga ialah memberi jaminan kepada sekutu serta rakan di rantau Teluk dan Israel bahawa mereka mempunyai kehadiran yang langsung dan kuat di rantau ini,” katanya.
Bagaimanapun, Mishra berkata jangkaan AS untuk berlakunya perubahan rejim di Iran terbukti tidak berjaya kerana Tehran telah pun menyediakan kepimpinan serta komander tentera baharu selepas kematian Pemimpin Agung negara itu Ali Khamenei.
“Oleh itu, teori serta idea perubahan rejim itu telah gagal dan saya fikir ia harus dilihat sebagai kegagalan strategi jangka panjang Amerika di rantau ini,” katanya.
Mengenai kemungkinan penglibatan Rusia dan China dalam konflik berkenaan, Mishra berkata kedua-dua negara itu berkemungkinan akan terus terlibat secara diplomatik tetapi tidak mungkin campur tangan secara ketenteraan.
Ketegangan di Asia Barat kekal tinggi sejak 28 Feb lepas apabila Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudiannya mencetuskan serangan balas oleh Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial