DUNIA > BERITA

JEPUN AKAN LEPAS RIZAB MINYAK SEAWAL ISNIN - PM TAKAICHI

11/03/2026 09:02 PM

TOKYO, 11 Mac (Bernama-Kyodo) -- Jepun akan mula mengeluarkan rizab minyaknya seawal Isnin depan bagi menangani kemungkinan kenaikan mendadak harga petrol dan produk petroleum lain susulan konflik di Asia Barat, kata Perdana Menteri Sanae Takaichi, lapor Agensi Berita Kyodo.

Takaichi memberitahu pemberita pada Rabu bahawa Jepun akan melepaskan rizab selama 15 hari yang dipegang oleh sektor swasta, diikuti dengan rizab minyak milik kerajaan selama sebulan, tanpa menunggu keputusan yang diselaraskan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa.

Ia bakal menjadi kali pertama Jepun mengeluarkan rizab minyaknya secara bebas, dan bukannya sebagai sebahagian daripada usaha yang diselaraskan di peringkat antarabangsa sejak penyimpanan minyak bermula pada 1978.

Kebergantungan Jepun terhadap Asia Barat bagi minyak mentah adalah "sangat tinggi" berbanding negara lain, dan import dijangka "menurun dengan ketara lewat bulan ini atau selepasnya," yang memerlukan langkah-langkah untuk mengelakkan gangguan bekalan petrol dan produk petroleum lain, kata Takaichi.

Memetik kemungkinan harga purata runcit petrol domestik boleh melebihi 200 yen (US$1.26) seliter, Takaichi juga berkata beliau menyasarkan untuk mengekalkan harga pada sekitar 170 yen dengan memanfaatkan dana kerajaan.

Harga petrol jatuh serendah 154.70 yen pada pertengahan Januari tetapi meningkat kepada 161.80 yen seliter setakat Isnin, menurut data kementerian industri.

-- BERNAMA-KYODO



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan