KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan ketenteraan dan serangan balas yang semakin meningkat di seluruh Asia Barat, menekankan keperluan untuk menangani punca konflik demi mencapai keamanan berkekalan.
Menyampaikan kenyataan Malaysia pada sidang tergempar pada sesi ke-61 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Wakil Tetap Malaysia ke badan dunia itu di Geneva, Datuk Nadzirah Osman berkata aktiviti ketenteraan yang semakin meningkat menjejaskan kedaulatan, integriti wilayah dan larangan penggunaan kekerasan di bawah Piagam PBB.
“Malaysia amat bimbang dengan perluasan serangan, termasuk terhadap infrastruktur tenaga kritikal. Ini bukan sasaran ketenteraan, tetapi infrastruktur awam yang penting untuk kehidupan masyarakat.
“Kami juga menekankan kepentingan kebebasan pelayaran susulan peranan penting mereka dalam memastikan perdagangan global dan kestabilan ekonomi terus berjalan, yang penting bagi pelaksanaan hak asasi manusia sepenuhnya.
"Sehubungan itu, Malaysia menegaskan semula keperluan mendesak untuk dengan segera, keadaan diredakan, keganasan dihentikan dan kembali kepada dialog. Sebarang penyelesaian yang mampan mesti menangani punca konflik dan berasaskan undang-undang antarabangsa," katanya.
Nadzirah menambah sebarang peningkatan aktiviti ketenteraan yang berpanjangan boleh membawa kesan lebih besar kepada masyarakat antarabangsa, termasuk keadaan kemanusiaan yang semakin teruk, perpecahan geopolitik yang semakin mendalam dan ketidakstabilan ekonomi lebih meluas.
Beliau berkata seruan untuk menahan diri yang dibuat oleh ahli Majlis, termasuk Malaysia, tiga minggu lepas masih belum membuahkan hasil.
“Kami menyaksikan peningkatan yang berbahaya.
“Kami memuji negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Jordan atas kekangan mereka dan untuk meneruskan penyelesaian diplomatik terhadap konflik ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial