DUNIA > BERITA

PEMINAT PIALA DUNIA MUNGKIN BERDEPAN SITUASI BURUK DI LAPANGAN TERBANG AS

26/03/2026 06:41 PM

WASHINGTON, 26 Mac (Bernama-PA Media/dpa) -- Peminat yang akan menghadiri Piala Dunia musim panas ini di Amerika Syarikat (AS) mungkin berdepan “situasi buruk” susulan penutupan berterusan di lapangan terbang negara itu, seorang pegawai tinggi pengangkutan memberi amaran, lapor PA Media/dpa.

Ahli Kongres dimaklumkan mengenai kemungkinan berlaku “huru-hara” berikutan kekurangan serius petugas keselamatan barisan hadapan digabungkan dengan ketibaan berjuta-juta penyokong untuk kejohanan itu, yang bermula pada Jun.

Ha Nguyen McNeill, pemangku ketua Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA), memberitahu jawatankuasa Dewan AS, lebih 480 pegawai telah meletakkan jawatan sejak permulaan pembentangan bajet pada pertengahan Februari, yang menyaksikan puluhan ribu pekerja tidak dibayar gaji.

Terdapat juga peningkatan dalam ketidakhadiran kakitangan "kerana mereka tidak mampu untuk melaporkan diri ke tempat kerja", katanya.

Situasi itu menyebabkan barisan panjang dengan penumpang menunggu lebih empat jam untuk melalui pusat pemeriksaan keselamatan di beberapa lapangan terbang.

Hal itu juga disertai peningkatan mendadak kes serangan ke atas kakitangan, tambah McNeill.

Presiden AS Donald Trump telah pun menghantar ejen imigresen persekutuan untuk membantu TSA dan berkata beliau juga boleh mengerahkan tentera Pengawal Kebangsaan.

McNeill berkata: “Apabila penutupan berlarutan, kami bimbang kita akan terus kehilangan pekerja yang berbakat dan berpengalaman untuk pekerjaan lain yang boleh memberikan cek gaji tetap.

“Bukan sahaja penutupan itu mengurangkan bilangan calon yang berminat, bagi mereka yang berjaya kami ambil (bekerja), mereka dikehendaki melengkapkan empat hingga enam bulan latihan sebelum mereka disahkan untuk bekerja di pusat pemeriksaan.

“Pada ketika ini, pegawai yang baharu digaji tidak akan dapat bekerja di pusat pemeriksaan sehinggalah selepas Piala Dunia FIFA 2026.

“Ini ialah keadaan yang teruk.

"Kita berdepan kemungkinan “ribut” akibat kekurangan kakitangan yang serius dan kemasukan jutaan penumpang di lapangan terbang kita untuk perlawanan Piala Dunia dalam masa kurang 80 hari."

Demokrat telah menyekat pembiayaan Keselamatan Dalam Negeri kerana mereka menuntut perubahan pada operasi imigresen yang dilanda kontroversi selepas ejen persekutuan menembak dan membunuh Renee Good dan Alex Pretti di Minneapolis.

Cadangan Demokrat untuk membiayai TSA sambil merundingkan pembaharuan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) telah ditolak oleh Republikan.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan