EKONOMI > BERITA

PELABUR ASING KEKAL PEMBELI BERSIH MINGGU LEPAS, NILAI EKUITI RM271.5 JUTA

23/09/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kalangan pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih ekuiti Malaysia bagi minggu keenam berturut-turut dengan aliran masuk dana bernilai RM271.5 juta pada minggu lepas.

Menerusi laporan aliran masuk dana mingguan bagi minggu berakhir 20 Sept, 2024, MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) berkata institusi tempatan turut menyokong bursa dengan aliran masuk dana bagi minggu kedua berturut-turut.

Dalam minggu dagangan singkat pada minggu lepas, pelabur asing melakukan belian bersih ekuiti masing-masing bernilai RM167.7 juta pada Selasa, RM122.9 juta pada Khamis dan RM57.0 juta pada Jumaat.

“Bagaimanapun, pelabur asing menjadi penjual bersih pada Rabu lepas dengan nilai RM76.1 juta pada hari itu,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata sektor dengan aliran masuk dana bersih tertinggi adalah perkhidmatan yang berjumlah RM352.2 juta dan diikuti penjagaan kesihatan (RM211.9 juta) serta hartanah (RM55.0 juta).

"Sektor yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi pula adalah utiliti (RM172.3 juta), teknologi (RM85.3 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna sebanyak RM49.7 juta," katanya.

Menyentuh penyertaan tempatan, MIDF berkata institusi tempatan terus menyokong bursa tempatan apabila mencatat belian bersih sebanyak RM38.7 juta pada minggu lepas yang juga aliran masuk bersih bagi minggu kedua berturut-turut.

“Peruncit tempatan menjadi penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan nilai RM310.2 juta,” katanya.

MIDF berkata purata nilai dagangan harian (ADTV) bagi peruncit tempatan, institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing meningkat sebanyak 10.9 peratus, 4.9 peratus dan 42.9 peratus.

Minggu lepas menyaksikan dagangan singkat berikutan pasaran ditutup pada 16 September bersempena cuti umum serentak sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan