EKONOMI > BERITA

EXIM BANK LANCAR INISIATIF HIJAU RM1.5 BILION UNTUK PEMBIAYAAN MAMPAN MENJELANG 2027

24/09/2024 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) melancarkan Inisiatif Global Hijau EXIM, komited untuk menyediakan sehingga RM1.5 bilion dalam pembiayaan mampan menjelang 2027. 

Inisiatif ini bertujuan menggalakkan penjagaan alam sekitar dengan membiayai projek hijau yang memberi impak besar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata inisiatif itu sejajar dengan misi ketiga Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 - ‘Push for Net Zero’. 

Kementerian kini menerajui pendekatan seluruh negara untuk menyahkarbon sektor pembuatan selain merebut peluang dalam bidang pertumbuhan hijau yang sedang berkembang.

“Inisiatif ini merangkumi tiga program teras untuk membantu perniagaan memenuhi piawaian kemampanan global dan membina daya tahan iklim, memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor eksport.

“Saya percaya ia akan memainkan peranan penting dalam membolehkan syarikat melengkapkan perjalanan kemampanan mereka.

“Inisiatif Global Hijau EXIM Bank merupakan gambaran jelas kepada komitmen bersama kami untuk memastikan perniagaan Malaysia dapat terus berdaya saing dalam menghadapi standard hijau global yang berkembang,” katanya dalam ucaptama pada Forum Kemampanan EXIM yang julung kali diadakan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi EXIM Bank Datuk Charon Mokhzani berkata di bawah Inisiatif Global Hijau, bank akan menyediakan bantuan khusus kepada pelanggan, membantu mereka mengukur dan mengurus jejak karbon mereka melalui Khidmat Nasihat dan Sokongan Pengiraan Karbon EXIM (CCAS).

Selain itu, inisiatif tersebut akan menawarkan insentif sehingga RM10,000 untuk menampung yuran berkaitan pembiayaan apabila pelanggan memohon pembiayaan hijau dengan EXIM Bank, menggalakkan perniagaan melabur dalam teknologi cekap tenaga dan melaksanakan amalan mampan.

Inisiatif itu juga bertujuan mengurangkan jejak karbon dalam sektor eksport sawit yang penting bagi Malaysia.

“Dengan menggalakkan penggunaan biochar dalam pengeluaran minyak sawit, kami menyasarkan untuk menyumbang kepada penyerapan karbon dan meningkatkan kesihatan tanah.

“Pendekatan ini menyokong penghijauan eksport minyak sawit, menggalakkan kemampanan dalam rantaian bekalan,” kata Charon.

Biochar menggiatkan semula amalan pertanian, mengurangkan pelepasan metana dan meningkatkan reputasi eksport minyak sawit Malaysia di peringkat global.

EXIM Bank turut memperkenalkan Skim Insentif Pembangunan Pengeksport (SIP2) kerajaan, yang menyediakan subsidi 1.5 peratus ke atas kadar pembiayaan untuk pengeksport dan usahawan Malaysia, menggalakkan mereka merebut peluang antarabangsa.

Sehingga kini, EXIM Bank memperuntukkan RM215 juta kepada 37 syarikat yang mendapat manfaat daripada skim ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan