EKONOMI > BERITA

SIMPOSIUM PIDM TINGKAT KESEDIAAN KRISIS DALAM KALANGAN INSTITUSI KEWANGAN

24/09/2024 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sekali lagi menganjurkan Simposium Resolusi Kebangsaan (NRS) untuk meneruskan perbincangan mengenai kaedah menangani atau menyelesaikan kegagalan institusi kewangan di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin meningkat.

Bertemakan "Membangunkan Kebolehselesaian Secara Kolaboratif: Menerapkan Dasar Kepada Amalan", NRS pada tahun ini menumpukan perbincangan kepada pelaksanaan praktikal persediaan krisis.

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata persediaan krisis perlu dilihat sebagai operasi berterusan dan bukan sekadar tindak balas apabila berlakunya kecemasan.

"Perancangan resolusi yang dilaksanakan lebih awal dapat membangunkan keupayaan sewaktu institusi ahli masih beroperasi seperti biasa untuk menyokong resolusi yang efektif dan merupakan pendekatan yang mampu mempertingkatkan daya tahan mereka.

“NRS mengukuhkan komitmen kami bagi memastikan institusi ahli PIDM sentiasa bersedia dan boleh diselesaikan untuk menghadapi cabaran semasa dan mendatang. Kami berhasrat untuk memupuk kerjasama dan menyediakan platform bagi pertukaran pandangan untuk menyokong resolusi yang efektif demi mengekalkan kestabilan sistem kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Simposium tersebut dihadiri hampir 450 peserta termasuk pemimpin pengurusan kanan dari institusi-institusi kewangan Malaysia.

PIDM berkata, NRS pada tahun ini menumpukan perbincangan kepada pelaksanaan praktikal persediaan krisis dan bagaimana pihak berkepentingan seperti peserta jaringan keselamatan kewangan, institusi kewangan, pengamal syariah, firma profesional serta pihak media boleh bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan resolusi secara teratur ketika berlaku kegagalan institusi ahli.

Katanya, pihaknya telah menerbitkan keperluan perancangan resolusi kepada bank-bank ahlinya.

"Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berfasa mengikut urutan pelaksanaan perancangan pemulihan Bank Negara Malaysia (BNM), berpandukan prinsip perkadaran, bergantung pada saiz dan kerumitan bank," kata PIDM.

PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi institusi ahlinya  telah membangunkan rangka kerja polisi bagi Perancangan Pemulihan dan Resolusi (RRP) bersama BNM untuk mengukuhkan persediaan krisis dan daya tahan institusi kewangan di Malaysia.

Menurut PIDM, perancangan pemulihan yang diterajui oleh BNM bagi memastikan bahawa bank dapat bertindak balas dengan efektif terhadap masalah kewangan dan mampu memulihkan daya maju semasa berdepan tekanan yang teruk.

”Perancangan resolusi yang diterajui PIDM pula memastikan bank dapat diselesaikan dengan segera dan teratur tanpa menggugat sistem kewangan,” katanya.

PIDM juga telah menerbitkan 25 kajian kes yang berlaku di peringkat global berkaitan resolusi  bank dan syarikat insurans sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggalakkan perbincangan berkaitan perancangan resolusi.

Orang awam boleh memuat turun terbitan tersebut melalui laman sesawang PIDM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan