EKONOMI > BERITA

BURSA MALAYSIA SEMAK SEMULA SYARAT PENYENARAIAN SEJAJAR DENGAN NSRF

24/09/2024 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan kertas perundingan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan untuk mengukuhkan pelaporan kemampanan di Pasaran Utama dan bagi Syarat Penyenaraian (LR) Pasaran ACE, sejajar dengan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF).

NSRF itu dilancarkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini. 

Ia bertujuan untuk memberi tumpuan kepada penggunaan Piawaian Pendedahan Kemampanan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB), terutamanya IFRS S1 Keperluan Am untuk Pendedahan Maklumat Kewangan berkaitan Kemampanan dan IFRS S2 Pendedahan Berkaitan Iklim (Piawaian ISSB).

Menurut Bursa Malaysia dalam kenyataan, ia mencadangkan untuk menghendaki penerbit yang disenaraikan menyediakan penyata kemampanan mereka mengikut Piawaian ISSB, dilengkapi dengan pendedahan sedia ada yang berkaitan dalam rangka kerja pelaporan kemampanan yang diperkenalkan pada September 2022.

“Penggunaan Piawaian ISSB akan dilaksanakan secara berperingkat, dilengkapi dengan langkah bantuan yang bersesuaian untuk memudahkan pematuhan oleh penerbit yang disenaraikan,” katanya.

Dalam pada itu, Bursa Malaysia juga sedang mendapatkan maklum balas mengenai dua perkara lain dalam semakan semula LR berkaitan kaedah pelaksanaan mesyuarat agung dan penerbitan nama penasihat tawaran awam permulaan dalam dokumen awam penerbit yang disenaraikan untuk tempoh tertentu.

Katanya cadangan pindaan itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan bursa untuk memastikan penerbit yang disenaraikan menerima pakai amalan kemampanan yang berkembang pesat di seluruh dunia dan LR kekal sesuai dalam memenuhi keperluan pelabur dan pihak berkepentingan yang berubah-ubah.

Butiran lanjut mengenai kertas perundingan dan cadangan pindaan terhadap LR boleh didapati di https://www.bursamalaysia.com/regulation/public_consultation.  

Bursa Malaysia mengalu-alukan pandangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai cadangan pindaan tersebut dan mereka boleh mengemukakannya sehingga 25 Okt 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan