EKONOMI > BERITA

SYARIKAT SENARAIAN BURSA, FIRMA BESAR PERLU PATUH NSRF - SC

24/09/2024 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Syarikat senaraian di Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia serta firma besar tidak tersenarai  yang menjana pendapatan tahunan RM2 bilion atau lebih, perlu mematuhi standard pelaporan baharu di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF).

NSRF yang dilancarkan hari ini, menggariskan pendekatan Malaysia untuk pelaporan kemampanan, menggunakan piawaian pendedahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (Standard ISSB) serta rangka kerja untuk jaminan kemampanan.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata dianggarkan sebanyak 130 syarikat atau penerbit besar tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia perlu mematuhi Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) S1 (Keperluan Am untuk Pendedahan Maklumat Kewangan berkaitan Kemampanan) dan S2 mulai 2025 dengan tumpuan kepada pendedahan iklim.

Beliau berkata syarikat berkenaan mempunyai impak besar terhadap pasaran modal dan mewakili lebih 80 peratus daripada permodalan pasaran di Bursa Malaysia dengan pelaporan pertama dijadual pada 2026.

“Baki penerbit tersenarai di Pasaran Utama iaitu Kumpulan 2 akan menggunapakai piawaian itu bermula 2026 dan diikuti dengan Kumpulan 3 merangkumi penerbit tersenarai di Pasaran ACE serta syarikat besar yang tidak tersenarai pada 2027.

“Kita menggunakan pelepasan peralihan yang disediakan oleh ISSB selain mewajibkan pendedahan Skop 3 dan laporan audit yang disahkan mulai 2027,” katanya pada majlis pelancaran NSRF di sini, hari ini.

Mohammad Faiz berkata SC juga sedang meneliti sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyediakan data bagi syarikat tersenarai untuk pendedahan Skop 3 mereka.

Susulan itu, SC telah menerbitkan Panduan Pendedahan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG) yang dipermudah dan dibangunkan oleh Pasaran Modal Malaysia untuk membantu mereka.

Beliau juga menyedari kebimbangan bahawa tidak semua pasaran antarabangsa memberi persetujuan mengenai kepentingan meningkatkan usaha pelaporan kemampanan.

“Bagaimanapun, sebagai sebuah negara perdagangan dan berperanan penting dalam rantaian bekalan global, adalah penting untuk kita menerimapakai keperluan ini bagi meraih manfaat sebagai pihak pelaksana.

“Langkah melaksanakan IFRS S1 dan S2 akan membantu dari segi penyeragaman maklumat. Daripada mengelaknya, kita sebaliknya perlu menerima dan memanfaatkannya secara strategik dalam menjadikan pasaran Malaysia lebih menarik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan