EKONOMI > BERITA

ADB TINGKAT UNJURAN PERTUMBUHAN EKONOMI 2024 ASIA DAN PASIFIK

25/09/2024 02:45 PM

JAKARTA, 25 Sept (Bernama) -- Asian Development Bank (ADB) meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi Asia dan Pasifik kepada 5.0 peratus tahun ini, berbanding 4.9 peratus pada April lepas.

Peningkatan unjuran itu didorong oleh permintaan domestik yang teguh dan pertumbuhan eksport yang semakin kukuh.

Pada masa yang sama, bank itu menurunkan prospek inflasi bagi rantau tersebut kepada 2.8 peratus tahun ini berbanding 3.2 peratus sebelum itu, namun mengekalkan unjuran inflasi sebanyak 4.9 peratus pada tahun depan.

Dalam 'Tinjauan Pembangunan Asia September 2024' terbaharunya yang dikeluarkan pada Rabu, ADB mengaitkan prospek optimistik itu kepada pengembangan ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan di Asia Timur, Caucasus, Asia Tengah dan Pasifik.

Ia berkata permintaan global yang semakin meningkat untuk semikonduktor yang didorong ledakan kecerdasan buatan telah meningkatkan eksport manakala harga makanan global yang semakin reda dan kesan jangka masa panjang dasar monetari telah mengurangkan inflasi kepada hampir paras sebelum pandemik.

“Asas ekonomi yang kukuh akan terus menyokong pengembangan ini tahun ini dan tahun depan.

“Keadaan kewangan dijangka bertambah baik apabila inflasi terus menjadi sederhana dan Amerika Syarikat (AS) melonggarkan dasar monetarinya. Ini akan menyokong prospek positif bagi rantau ini,” kata ketua ekonomi ADB Albert Park.

ADB bagaimanapun memberi penekanan terhadap potensi risiko, termasuk ketegangan perdagangan AS dan China, pasaran hartanah China yang semakin merudum, peningkatan ketegangan geopolitij dan kesan perubahan iklim terhadap harga komoditi dan keterjaminan makanan.

Sementara itu, bank itu mengunjurkan pertumbuhan China, kuasa ekonomi terbesar di Asia dan Pasifik, kekal pada 4.8 peratus tahun ini dan 4.5 peratus pada 2025.

Ia menjangkakan pertumbuhan ekonomi untuk India, ekonomi kedua terbesar di rantau itu, kekal pada 7.0 peratus untuk tahun ini, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan kerajaan.

Pada masa yang sama, ADB menaikkan prospek pertumbuhannya untuk Caucasus dan Asia Tengah kepada 4.7 peratus tahun ini daripada 4.3 peratus yang diunjurkan pada April, hasil daripada permintaan dalam negeri yang bertambah baik.

Unjuran  pertumbuhan Pasifik pula diselaraskan ke atas kepada 3.4 peratus daripada 3.3 peratus sebelumnya, didorong oleh peningkatan dalam ketibaan pelancong.

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan untuk Asia Tenggara telah diturunkan sedikit sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 4.5 peratus, disebabkan oleh penurunan dalam pelaburan awam dan pemulihan eksport yang lebih perlahan daripada jangkaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan