EKONOMI > BERITA

RHB IB ANGGAR PERBELANJAAN PEMBANGUNAN RM90 BILION DALAM BELANJAWAN 2025

25/09/2024 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menganggarkan perbelanjaan pembangunan bersih kira-kira RM90 bilion dalam Belanjawan 2025 berikutan Malaysia memasuki tahun akhir Rancangan Malaysia Ke-12.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, katanya kerajaan mempunyai ‘sedikit ruang untuk lebihan’ berikutan kewangan awam adalah ‘ketat’.

Ia menjangka Belanjawan 2025, yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini, mengandungi elemen merangkumi kehematan fiskal, sokongan kepada segmen berpendapatan rendah, komitmen terhadap pembaharuan dan kejelasan mengenai inisiatif untuk meluaskan asas cukai.

“RHB Economics mengunjurkan sasaran defisit fiskal 2025 sebanyak 3.5 peratus berbanding sasaran 4.3 peratus pada 2024,” menurut RHB IB.

Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 yang baharu akan menyokong keseluruhan perbelanjaan infrastruktur, membantu mengurangkan risiko dan mengoptimumkan kos.

RHB IB menjangka peruntukan Belanjawan 2025 untuk subsektor pengangkutan daripada jumlah perbelanjaan pembangunan ‘akan lebih tinggi daripada 21.3 peratus atau RM19 bilion yang diperuntukkan untuk 2024’ berdasarkan potensi projek berkaitan pengangkutan.

Ini termasuk Lebuhraya Pesisir Utara Sarawak, baki fasa Lebuhraya Pan Borneo, pembangunan semula KL Sentral, Lebuhraya Putrajaya-Bangi, Lebuhraya Penyuraian Utara KL, Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway dan Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di Johor Bahru. 

Sementara itu, ia percaya mekanisme pembiayaan Mass Rapid Transit (MRT3), pusingan terkini untuk anggaran kos dan sama ada mengemukakan tender baharu diperlukan berdasarkan tempoh sah tender MRT3 tidak dilanjutkan selepas Mac 2024.

Menurut bank pelaburan itu, MRT Corp sedang menjalankan sesi pemeriksaan awam dari 2 September hingga 2 Disember untuk mengumpul maklum balas mengenai cadangan penjajaran rangkaian MRT3. 

RHB IB memberikan penarafan “wajaran tinggi” ke atas sektor pembinaan berikutan kontraktor berada dalam keadaan yang baik. Mereka dapat meningkatkan kemajuan dan menerima kontrak baharu berikutan terdapat penawaran buruh yang mencukupi dan kos bahan yang boleh diurus.

Pilihan utama “Beli” RHB IB ialah Gamuda dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM9.68, Kerjaya Prospek (TP: RM2.57) dan Sunway Construction (TP: RM5.50). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan