EKONOMI > BERITA

FELDA MAHU PUPUK HUBUNGAN PERNIAGAAN MALAYSIA DAN INDONESIA

30/09/2024 06:35 PM

JAKARTA, 30 Sept (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bersedia untuk menghubungkan syarikat Malaysia, khususnya unit perniagaannya, dengan firma dalam Dewan Usahawan Indonesia (KEIND) untuk meneroka peluang baharu di kedua-dua negara dan antarabangsa.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggariskan potensi memanfaatkan gabungan pengetahuan termasuk sumber Malaysia dan Indonesia dalam mewujudkan pasaran yang lebih besar serta menguntungkan.

“Kami berharap dapat bekerjasama ke arah mencari pasaran yang lebih meluas di Eropah, Afrika, Jepun, dan Korea Selatan, yang akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Kerja Kebangsaan KEIND kali ke-3 di sini hari ini.

“Sinergi antara Malaysia dan Indonesia akan membawa manfaat yang besar, bukan sahaja untuk kedua-dua negara, tetapi juga kepada rantau Asia Tenggara.”

Acara yang memfokuskan kepada daya tahan, kemampanan termasuk pembangunan inklusif itu, mengumpulkan usahawan, pegawai kerajaan dan pemimpin perniagaan dari seluruh Asia serta Afrika.

Dalam ucapannya, Ahmad Shabery menyifatkan hubungan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia sama seperti dua negara sahabat yang berkongsi warisan budaya dan sejarah yang kaya.

“Kami mempunyai potensi besar untuk menyokong antara satu sama lain yang merentasi pelbagai bidang,” kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2015 hingga 2018 itu.

Beliau turut menyatakan kejayaan beberapa perniagaan Indonesia di Malaysia seperti rangkaian kedai kopi, Kopi Kenangan, yang memasuki pasaran Malaysia pada 2022 dan berkembang pesat selepas COVID-19.

Indomie, jenama mi segera popular Indonesia, terus menikmati pasaran yang meluas di Malaysia dan di peringkat global, manakala Kopiko, jenama gula-gula kopi negara itu telah mengekalkan popularitinya di Malaysia selama bertahun-tahun sambil berinovasi dengan penawaran produk baharu, tambahnya.

KEIND ditubuhkan di Jakarta untuk menghimpunkan usahawan kecil, sederhana dan besar daripada pelbagai sektor, ia kini beroperasi di 28 wilayah di seluruh Indonesia, dengan wakil di pelbagai daerah, bandar serta antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan