EKONOMI > BERITA

INDEKS HARGA PENGELUAR SUSUT 1.9 PERATUS PADA 2023 - JABATAN PERANGKAAN

03/10/2024 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) --  Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia turun sebanyak 1.9 peratus pada 2023 berbanding 7.8 peratus pada 2022, disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam sektor pertanian, perhutanan perikanan (-13.8 peratus).

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata sebagai komponen terbesar, penurunan dua digit dalam indeks penanaman tanaman kekal negatif 23.1 peratus (2022: -0.7 peratus) yang menyumbang kepada kemerosotan keseluruhan sektor itu.

“Sektor perlombongan juga turun 5.9 peratus berbanding 12.6 peratus pada 2022. Pengekstrakan petroleum mentah turun dua digit kepada 10.1 peratus selepas meningkat 6.4 peratus pada 2022.

“Pengekstrakan gas asli pula meningkat pada kadar lebih perlahan 9.9 peratus berbanding 43.7 peratus pada 2022,” katanya.

Menurut jabatan itu, sektor pembuatan mencatat penurunan perlahan 0.2 peratus berbanding kenaikan 8.4 peratus pada 2022, disebabkan oleh kemerosotan indeks pembuatan produk makanan (-5.9 peratus), pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-5.4 peratus) dan Pembuatan kimia & produk kimia (-3.3 peratus).

Bagaimanapun, katanya, penurunan sektor itu diimbangi dengan peningkatan dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separuh treler (8.9 peratus) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (6.9 peratus.

Pada masa sama, sektor utiliti sebaliknya kekal positif pada 2023, dengan Bekalan elektrik & gas dan Bekalan air masingmasing meningkat sebanyak 0.4 peratus dan 2.4 peratus. 

Dalam pada itu, Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) mencatat peningkatan 2.1 peratus dengan semua subsektor meningkat tahun ini kecuali indeks maklumat dan komunikasi yang tidak berubah.

Subsektor penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 5.6 peratus (2022: 5.4 peratus) manakala pengangkutan menokok 2.9 peratus (2022: 3.0 peratus).

Subsektor lain yang turut meningkat adalah kesenian, hiburan dan rekreasi (2.3 peratus), pendidikan (1.0 peratus), profesional (0.4 peratus), kesihatan (0.3 peratus) dan aktiviti hartanah (0.2 peratus), kata Jabatan Perangkaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan