EKONOMI > BERITA

MALAYSIA DIJANGKA CAPAI SASARAN DEFISIT FISKAL 4.3 PERATUS PADA 2024 - OCBC

03/10/2024 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- OCBC Global Market Research menjangka Malaysia akan mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini dan menjangka kerajaan menyasarkan defisit lebih kecil antara 3.5 dan 3.8 peratus pada 2025.

Menurut firma penyelidikan itu, defisit fiskal negara sebanyak RM55.2 bilion pada akhir Ogos berbanding sasaran defisit sebanyak RM85.4 bilion pada tahun ini.

“Pada asas 12 bulan, kami menganggarkan defisit fiskal sebanyak 5.2 peratus daripada KDNK setakat Ogos berbanding sasaran defisit belanjawan tahun penuh sebanyak 4.3 peratus daripada KDNK,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Katanya cukai pendapatan petroleum, korporat dan peribadi turun dengan ketara pada separuh pertama 2024 berbanding 2023, mencerminkan harga komoditi yang rendah.

“Kutipan hasil cukai tidak langsung, bagaimanapun kekal kukuh, disokong oleh duti eksport dan import serta kutipan cukai jualan dan perkhidmatan,” katanya.

Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan perbelanjaan kerajaan Persekutuan perlahan kepada 1.3 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2024 berbanding 3.2 peratus pada 2023, didorong oleh penurunan perbelanjaan pembangunan bersih sebanyak 24.4 peratus manakala perbelanjaan mengurus naik 9.2 peratus pada separuh pertama 2024.

Menurut OCBC, emolumen, perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada perbelanjaan mengurus pada separuh pertama tahun ini.

Bagaimanapun, katanya trajektori fiskal berubah pada Julai dan Ogos apabila kutipan hasil meningkat secara purata sebanyak 11.5 peratus tahun ke tahun dalam tempoh dua bulan manakala pertumbuhan perbelanjaan perlahan kepada 3.9 peratus, disokong sebahagiannya oleh rasionalisasi subsidi diesel.

“Hasil dan perbelanjaan, masing-masing mencapai 64.4 peratus dan 64 peratus daripada belanjawan tahunan, justeru, kadar defisit fiskal menjadi perlahan dan sasaran defisit fiskal 2024 kini dilihat dapat dicapai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan