EKONOMI > BERITA

25 SYARIKAT SERTAI MALAYSIA SEMICONDUCTOR RECRUITMENT DAY 2024

04/10/2024 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Lebih 25 syarikat menyertai Malaysia Semiconductor Recruitment Day 2024 yang bermula hari ini, dengan lebih 2,000 siswazah mendaftar dalam acara dua hari itu bagi menghubungkan pencari kerja dan pemain industri. 

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) yang menganjurkan acara itu dengan kerjasama Malaysia Advanced Semiconductor Academy berkata acara itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi peneraju industri semikonduktor global.

"Ia merupakan peluang terbaik kepada pencari kerja untuk mendapatkan akses terus kepada bakal majikan dan pengurus pengambilan pekerja daripada syarikat semikonduktor terkemuka. Temu duga secara langsung turut tersedia, memberikan peserta peluang kerjaya baharu.

"Turut ditawarkan di acara itu ialah perundingan kerjaya dan bengkel untuk membantu pencari kerja mempertajam strategi permohonan dan memperhalusi pembangunan profesional mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Sidec berkata peserta juga berpeluang membina rangkaian untuk membolehkan mereka berhubung dengan profesional industri bagi menawarkan pandangan dan hubungan berharga yang boleh membentuk kerjaya masa depan mereka dalam industri semikonduktor.

Antara syarikat utama yang mengambil bahagian termasuk NXP, Renesas, Infineon, Inari Amertron, Neways, Vitrox, STMicroelectronics, HCLTech, Chipsbank, Betterlife, Oppstar, Synopsys, Skyechip, dan AppAsia.

Syarikat-syarikat ini aktif mencari pekerja bagi mengisi jawatan seperti jurutera reka bentuk RTL, jurutera pengesahan reka bentuk, jurutera reka bentuk fizikal, jurutera reka bentuk litar analog dan jurutera reka bentuk susun atur, dengan gaji permulaan RM5,000 untuk jurutera peringkat permulaan.

“Syarikat yang mengambil bahagian membuat pembentangan untuk mempamerkan teknologi canggih mereka, projek berterusan dan peluang pembangunan kerjaya. Ia akan memberikan peserta maklumat berharga terhadap hala tuju industri dan peranan yang boleh mereka mainkan dalam memacu inovasi ke hadapan,” kata Sidec.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan