EKONOMI > BERITA

SENTOSA JAYA CAPITAL LANCAR PLATFORM SAHAM2U, REVOLUSI PEMBIAYAAN PELABURAN ATAS TALIAN

22/10/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan kewangan berlesen, Sentosa Jaya Capital Sdn Bhd hari ini melancarkan Saham2u, platform pembiayaan pelaburan ekuiti atas talian yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pelancaran Saham2u itu menandakan pencapaian penting dalam usahanya untuk memperluaskan akses kepada pelaburan yang lebih inklusif dan mudah diakses oleh para pelabur individu dan korporat.

Menurut syarikat itu, Platform Saham2u menawarkan produk pembiayaan margin saham yang inovatif dan patuh syariah, sejajar dengan komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang selaras dengan keperluan pelabur beragama Islam khususnya.

“Pelancaran Saham2u merupakan langkah strategik dalam transformasi digital sektor kewangan di Malaysia. Kami berhasrat untuk memudahkan akses pelaburan dengan menyediakan platform yang telus, mudah digunakan, dan dipercayai oleh pelabur.

“Platform ini juga dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi dengan kerjasama bersama syarikat MSC TrustGate.Com Sdn Bhd untuk menjamin keselamatan data dan transaksi para pengguna,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Majlis pelancaran Saham2u itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk M Noor Azman Taib.

Sentosa Jaya Capital merupakan syarikat kewangan kredit komuniti yang berada di bawah seliaan KPKT.

Sementara itu menerusi ucapan perasmiannya M Noor Azman berkata pembangunan platform dalam talian adalah bertepatan dengan hala tuju KPKT serta nilai teras ‘daya cipta’ di bawah prinsip Malaysia MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“KPKT selaku pengawal selia Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) amat menggalakkan inisiatif baharu yang mampu memacu perkembangan industri selagi mana ia mematuhi perundangan dan garis panduan pemberian pinjaman wang dalam talian yang sedang berkuat kuasa.

“Usaha pihak Sentosa Jaya Capital dalam menawarkan perkhidmatan patuh syariah secara tidak langsung telah melengkapkan ekosistem perkhidmatan kewangan yang pada masa ini didominasi oleh perkhidmatan kewangan konvensional,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan